Anda di sini

Warga emas terkorban

Advertisement
 Keadaan rumah panjang tersebut yang musnah dalam kebakaran semalam.
TINGGAL RANGKA: Keadaan rumah panjang tersebut yang musnah dalam kebakaran semalam.

SRI AMAN: Seorang wanita warga emas terkorban dalam kebakaran Rumah Sambau Sandai sepanjang 28 pintu di Nanga Entulang, Jalan Stumbin di sini, semalam.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii, mangsa dikenali sebagai Yon Manjat, 60-an, ditemui maut di bilik nombor tujuh sekitar jam 2.45 petang ketika pasukan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh di tapak kejadian.

"Mangsa ditemui rentung di pintu nombor tujuh iaitu ruai mangsa sendiri dalam kebakaran rumah panjang tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian itu, seramai 186 penghuni terdiri daripada 81 lelaki dan 105 wanita tinggal sehelai sepinggang.

Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi.

"Kebakaran memusnahkan satu blok rumah panjang jenis kayu. Manakala, satu blok kediaman berasingan jenis separuh kekal terbakar 70 peratus," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Turut hadir di lokasi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.

Insiden kebakaran rumah panjang itu merupakan yang ke-25 di Sarawak pada tahun ini.

Pada November lalu, sebanyak tiga kebakaran rumah panjang direkodkan di negeri ini melibatkan Uma Bakung, Sungai Asap di Belaga pada 19 November, Rumah Usek di Niah (24 November) dan Rumah Ugin Ungian di Julau (25 November).

Advertisement