Anda di sini

Wanita didenda RM3,000 miliki 22 keluaran tidak berdaftar

 

KOTA KINABALU: Seorang wanita dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan memiliki sebanyak 22 keluaran tidak berdaftar. 

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim mengenakan denda itu terhadap Nurjannah Rassa, selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya. 

Bagaimanapun jika gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan penjara selama 60 hari dikenakan. 

Tertuduh didapati memiliki semua keluaran berkenaan antaranya Rapet Wangi 12 kotak, Pil Tuntas lima botol, Ratu Langsing dua kotak dan Herba Sedap Malam empat kotak. 

Kesalahan dilakukan pada 14 Mac 2016 jam 1.20 petang di sebuah premis, pusat membeli belah 1 Borneo, Jalan Sulaman di sini. 

Nurjannah disabitkan mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya. 

Mahkamah juga memerintahkan keluaran yang dirampas dilupuskan pihak pendakwaan, setelah tamat tempoh rayuan. 

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi melakukan pendakwaan berkenaan. 

Dalam kes berasingan, enam warga asing antaranya seorang wanita dikenakan hukuman penjara kerana memasuki negara ini secara haram. 

Abdul Rahman Bisau, 19, dikenakan penjara empat bulan, sementara Razmi Pasit, 34, Azlan Sarahani, 19, Nurham Tawalak, 19, Jemsey Marah, 18, dan Nilda Gumalang, 50, masing-masing penjara lima bulan. 

Namun Razmi yang bekerja sebagai buruh turut diperintahkan dikenakan satu sebatan. 

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz juga mengarahkan semua tertuduh yang ditangkap pihak berkuasa pada 17 Oktober dan 8 Disember, dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah tamat tempoh pemenjaraan. 

Mereka disabit kesalahan itu mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Pegawai Pendakwa ASP Sabrina Jinius melakukan pendakwaan terbabit.