Anda di sini

UMNO Sabah lumpuh

Advertisement
 Hajiji (lima kanan) bersama anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen daripada UMNO mengumumkan keluar dari parti itu ketika sidang akhbar semalam. — Gambar Bernama
KELUAR UMNO: Hajiji (lima kanan) bersama anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen daripada UMNO mengumumkan keluar dari parti itu ketika sidang akhbar semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: UMNO Sabah lumpuh selepas hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti semalam.

Dalam sidang media di sini, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa semalam melibatkan lima ahli parlimen, sembilan ADUN dan dua senator, kata Hajiji yang juga Ketua UMNO Tuaran.

Lima ahli parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat), katanya.

Menurut Hajiji selain beliau, lapan lagi ADUN  ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Katanya buat  masa ini kesemua wakil rakyat terbabit akan menjadi wakil Bebas.

Menurut Hajiji, dua senator UMNO yang keluar parti ialah Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.

Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari UMNO yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.

UMNO bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.

Menurut Hajiji baki empat lagi bahagian iaitu Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan belum menyatakan pendirian mereka.

Tindakan keluar parti itu turut melibatkan ketua Puteri semua UMNO bahagian sementara Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata pemimpin sayap tersebut belum membuat keputusan.

Dalam satu kenyataan di sini, Jainab berkata Wanita UMNO memerlukan tempoh bertenang sebelum tindakan seterusnya diambil, termasuk  memberi penerangan kepada pemimpin Wanita peringkat bahagian. — Bernama

Advertisement