Anda di sini

Ku Nan didakwa semula selepas mahkamah lepas tanpa bebas tuduhan kedua

 Tengku Adnan hadir di Mahkamah Sesyen semalam bagi mendengar sebutan semula kes rasuah berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 2013. —  Gambar Bernama
SEBUTAN SEMULA: Tengku Adnan hadir di Mahkamah Sesyen semalam bagi mendengar sebutan semula kes rasuah berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 2013. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam melepas tanpa membebaskan Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan berhubung tugas rasminya, dua tahun lalu.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim untuk melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan, 68, daripada pertuduhan kedua di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang dihadapinya pada 15 Nov lalu.

“Kami mendapati fakta dalam pertuduhan itu (pertuduhan pertama dan kedua) tidak berkaitan dan tidak sewajarnya dibicarakan bersama, bagaimanapun kami akan memfailkan semula pertuduhan kedua itu dan akan dibacakan semula sebagai pertuduhan berasingan yang baharu,” kata Julia.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan tidak membantah permohonan itu namun memohon wang jaminan RM1 juta yang dikenakan terhadap anak guamnya bagi kedua-dua pertuduhan sebelum ini dikurangkan kepada RM500,000 dengan seorang penjamin.

Tan berkata ia bagi membolehkan Tengku Adnan yang juga Bendahari UMNO itu membayar wang jaminan terhadap pertuduhan yang akan difailkan semula oleh pihak pendakwaan tersebut.

Mahkamah membenarkan permohonan Tan dan mengurangkan wang jaminan daripada RM1 juta kepada RM500,000 namun mengekalkan syarat tambahan sama iaitu pasport antarabangsa dan pasport diplomatik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Selepas setengah jam prosiding itu selesai, mahkamah kemudiannya bersidang semula di mana pertuduhan kedua yang baharu dibacakan kepada Tengku Adnan dan dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan itu, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd no akaun 8001179747 yang di dalamnya beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun 2016, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan itu adalah sama dengan pertuduhan terdahulu yang dihadapi oleh Tengku Adnan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jan 2019 untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk mendapatkan sementara pasportnya yang diserahkan kepada mahkamah bagi membolehkannya mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Melbourne, Australia.

Menurut Tan, Tengku Adnan mempunyai beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan temu janji itu telah ditetapkan lebih awal iaitu sebelum tertuduh didakwa selain pakar yang akan merawat Tengku Adnan juga telah dinamakan.

Azman membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula semalam dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah pada 7 Jan 2019.

Tan turut memaklumkan pihaknya telah membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah dan pendengaran bagi permohonan itu ditetapkan pada 14 Dis ini.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada tahun 2013.

Bagi pertuduhan pertama, Tengku Adnan, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, 68, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank no. akaun 14200008384058 miliknya.

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah bagi dirinya kerana telah melakukan suatu perkara yang sebenar, iaitu meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan di tempat dan tarikh yang sama iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank no. akaun 14200008384058 miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — Bernama