Anda di sini

Kami perlu kekal merendah diri, kata Tuchel

Advertisement
 Mbappe (tengah) memeluk Tuchel (kiri) ketika meraikan kejayaan mereka melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menewaskan Red Star di Stadium Rajko-Mitic, Belgarde Selasa lepas. — Gambar AFP
MELANGKAH BERGAYA: Mbappe (tengah) memeluk Tuchel (kiri) ketika meraikan kejayaan mereka melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menewaskan Red Star di Stadium Rajko-Mitic, Belgarde Selasa lepas. — Gambar AFP

BELGRADE, Serbia: Jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel berkata pasukannya perlu untuk “terus merendah diri” selepas membelasah Red Star Belgrade 4-1 dan mengesahkan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selaku juara Kumpulan C Selasa lepas.

Gol dalam separuh masa pertama dari Edinson Cavani dan Neymar membolehkan PSG mendahului selesa sebelum Marquinhos dan Kylian Mbappe melengkapkan jaringan dan dengan Liverpool menewaskan Napoli 1-0 memastikan PSG menamatkan pusingan pertama selaku juara kumpulan.

Gol saguhati Red Star dijaringkan Marko Gobeljic pada awal separuh masa kedua.

“Kami melakukan kesilapan tetapi saya benar-benar suka reaksi selepas gol Belgrade. Kami mengawal permainan,” kata Tuchel kepada penyiaran RMC Sport selepas kemenangan itu.

“Kami perlu kekal merendah diri dan mempunyai sikap profesional. Kami akan meningkat dan menjadi pasukan yang sukar ditewaskan.”

PSG menamatkan saingan pusingan pertama dengan 11 mata, dua mata di hadapan Liverpool dan Napoli, yang terpaksa akur di tempat ketiga selepas tewas di Anfield pada hari yang sama.

Menamatkan saingan selaku juara kumpulan adalah satu perangsang besar buat PSG, yang menguasai bola sepak Perancis sejak dibeli hartawan dari Qatar tetapi hambar pada kejohanan elit di Eropah.

Melangkah ke pusingan kedua selepas dua kemenangan berturut-turut buat PSG, dengan kemenangan ke atas Red Star Selasa lepas adalah selepas kemenangan penting 2-1 ke atas Liverpool yang memberikan peluang kelayakan di tangan mereka sendiri.

“Kami menunjukkannya buat kali kedua selepas menentang Liverpool di mana kami sudah bersedia untuk perlawanan seperti ini,” tambah Tuchel, di mana pas8ukannya memulakan kejohanan dengan kekalahan 2-3 kepada Liverpool di Anfield dan kemudian bergelut dengan dua keputusan seri menentang Napoli.

Bagaimanapun, PSG menjaringkan 10 gol dari dua perlawanan  menentang Red Star, yang menewaskan Liverpool dan seri dengan Napoli di Belgrade – tercicir mata yang membolehkan PSG menamatkan saingan di tangga teratas.

“Kami berasa gembira, kami mahu meneruskan kemaraan dan itulah yang kami tunjukkan,” kata Mbappe,yang juga mengumpan bola untuk gol pembukaan Cavani.

Ditanya tentang peluang PSG memenangi Liga Juara-Juara, Mbappe menambah: “Kami perlu melihat apa yang bakal kami hadapi. Sasarannya ialah untuk melangkah ke suku akhir tetapi kami akan menghadapi apa yang akan kami terima dalam undian (pusingan kedua).” — AFP

Advertisement