Anda di sini

DUN lulus pindaan RUU Perlembagaan Sabah 2018

Advertisement
KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) membincangkan sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Madius Tangau (dua, kanan) sebelum Persidangan Khas Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Dewan Undangan Negeri hari ini.
KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) membincangkan sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Madius Tangau (dua, kanan) sebelum Persidangan Khas Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Dewan Undangan Negeri hari ini.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah 2018 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Speaker DUN Datuk Syed Abas Syed Ali meluluskan pindaan bagi Fasal 3 Perkara 2 selepas cadangan berkenaan memperolehi majoriti undi belah bahagian dalam Persidangan Khas DUN pada Khamis.

Seramai 46 Adun mengundi untuk menyokong pindaan berkenaan manakala 14 tidak menyokong selain lima yang tidak hadir.

Pindaan Fasal 3 Perkara 2 berhubung perkara tidak lagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah.

Shafie berkata, pindaan itu penting dalam memastikan perlembagaan dapat mengukuhkan hak rakyat dan negeri Sabah.

Katanya, undang-undang yang dipinda bukan hanya untuk kepentingan sekarang tetapi turut penting pada masa hadapan.

Beliau berkata, selepas ini beberapa perkara lagi akan dibawa untuk pindaan bagi memastikan kejelasan dalam perlembagaan termasuklah hak dan had yang ada pada Yang Dipertua Negeri.

Menurutnya, Yang Dipertua Negeri adalah institusi penting yang menjadi lambang kepada Sabah dan pelantikannya setanding dengan apa yang diletakkan dalam perlembagaan.

"Saya tahu banyak tafsiran atau kemungkinan di luar sana yang membabitkan ada rundingan antara Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri berhubung perkara ini.

"Tidak ada rundingan dibuat dan kalau ada tafsiran luar seolah-olah ada rundingan, ia adalah perkara yang tidak sihat dan perlu diperbetulkan dalam dewan ini," jelasnya.

Katanya, ada keperluan untuk memberikan tiada had tempoh untuk perkhidmatan Yang Dipertua Negeri.

Shafie berkata, bukan had atau bangsa yang menjadi keutamaan tetapi kualiti yang ada pada Yang Dipertua Negeri.

Pindaan kali terakhir bagi rang undang-undang berkenaan diluluskan pada 1987 yang menghadkan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri kepada dua penggal. 
DUN turut meluluskan pindaan bagi Rang Undang-Undang Perlombongan 2018 oleh Timbalan Speaker DUN Datuk Ahmad Abdul Rahman.

  • oleh
  • Advertisement