Anda di sini

Dr Abdul Rahman rancang bina gelanggang futsal di setiap kampung DUN Pantai Damai

Advertisement
 Dr Rahman bergambar bersama penduduk kampung selepas menyempurnakan majlis perasmian Gelanggang Sukan Kampung Bintawa Ulu.
KENANGAN: Dr Rahman bergambar bersama penduduk kampung selepas menyempurnakan majlis perasmian Gelanggang Sukan Kampung Bintawa Ulu.

KUCHING: Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata beliau merancang untuk membina gelanggang futsal di setiap kampung di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Beliau berkata, ini kerana Pantai Damai berpotensi melahirkan ramai bakat baharu dalam sukan futsal serta bola sepak.

Ketika ini katanya, sebanyak 12 gelanggang futsal telah dibina di DUN Pantai Damai.

“Perancangan saya pada masa akan datang ialah untuk membina gelanggang futsal di setiap kampong, bagaimanapun ini ia bergantung kepada adanya tapak tanah.

“Ini antara usaha kita untuk melahirkan lebih ramai pemain berkaliber. Sebelum ini, kawasan kita memang terkenal kerana berjaya melahirkan pemain yang mewakili daerah dan negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, ketika ini Pantai Damai telah melahirkan seorang pemain futsal yang mewakili Malaysia.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli DUN Pantai Damai berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Gelanggang Sukan Kampung Bintawa Ulu, dekat sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan peralatan sukan untuk dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

Menurutnya lagi, penglibatan belia dalam sukan terutama futsal penting bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu tetapi mengelak mereka terjebak dalam aktiviti tidak sihat.

“Kita melihat anak muda sekarang amat meminati futsal, jadi kita menerusi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berusaha menyediakan prasarana sukan,” ujarnya.

Advertisement