Anda di sini

Diperintah khidmat masyarakat 200 jam kerana cederakan lelaki 

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret di sini, mengikuti program khidmat masyarakat selama 200 jam, atas kesalahan mencederakan seorang lelaki. 

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim membuat keputusan itu terhadap Richard Dunggil, 31, yang diwakili peguam Henry Gudid. 

Tertuduh mencederakan Lijar@Aloysius Pulis, 63, pada 23 Julai jam 4.30 petang di sebuah rumah, Kampung Putaton Inobong, Penampang. 

Atas kesalahan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya. 

Semasa rayuan, Henry berkata tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan meminta kepada mahkamah mengambil kira latar belakang keluarga tertuduh. 

"Mohon keadaan fizikal tertuduh diambil kira, selain tertuduh perlu menjaga ayahnya yang sudah berumur kira-kira 60 tahun. 

"Semasa kejadian berlaku, tertuduh dalam keadaan yang mabuk. Tertuduh dan mangsa tinggal di kampung yang sama," katanya. 

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu sedang menonton televisyen, beliau menyedari seketul batu dibalingkan ke dalam rumahnya. 

Apabila berjalan menuju ke luar, beliau melihat dua lelaki yang dikenalinya sedang menunggunya lalu bertanya tujuan kedatangan mereka. 

Bagaimanapun beliau dicederakan kedua-dua lelaki terbabit, akibat perasaan tidak berpuas hati pagar dipasang di kawasan rumahnya dan mereka terpaksa melalui jalan yang jauh. 

Siasatan lanjut menunjukkan, pengadu memasang pagar terbabit disebabkan tidak selesa penduduk kampung mengambil jalan pintas di kawasan rumahnya. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin. 

  • oleh
  • Advertisement