Anda di sini

Arul Kanda dibenar ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin

Advertisement
 Arul Kanda (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pindaan Laporan Akhir, Pengauditan 1MDB. — Gambar Bernama
DALAM SIASATAN: Arul Kanda (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pindaan Laporan Akhir, Pengauditan 1MDB. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pindaan Laporan Akhir, Pengauditan 1MDB dibenar ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rozina Ayob turut memerintahkan Arul Kanda, 42, membayar jaminan itu semalam selepas menolak permohonan peguam Datuk N. Sivananthan supaya anak guamnya membayar jaminan berkenaan secara ansuran.

Mahkamah juga memerintahkan Arul Kanda menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Jan tahun hadapan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai pasukan pendakwaan memohon jaminan RM500,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Sivananthan bagaimanapun tidak membantah jaminan itu sebaliknya memohon supaya jaminan itu dibayar secara ansuran iaitu RM250,000 semalam dan bakinya dibayar hari ini.

Peguam itu turut memaklumkan anak guamnya kini tidak bekerja dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepanjang dia disiasat.

“Penjamin yang juga bapa mentua kepada anak guam saya turut hadir ke mahkamah hari ini (semalam) bagi membayar jaminan,” katanya.

Sri Ram juga memohon supaya kes berkenaan dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi Najib kerana ia membabitkan isu sama.

Pada awal prosiding, Arul Kanda, yang memakai kot berwarna hitam hanya berkata: “Saya mengaku tidak bersalah” selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.

Arul Kanda juga dilihat tenang dan melemparkan senyuman ke arah pihak media yang berada di galeri awam ketika memasuki kandang tertuduh. — Bernama

Advertisement