Anda di sini

Tendangan percuma Digne selamatkan maruah Silva

Advertisement
 Digne (dua kiri) menjaringkan gol menerusi tendangan percuma pada minit akhir permainan pada perlawanan liga di antara Everton dan Watford di Goodison Park, Liverpool kelmarin. — Gambar AFP
GOL PENYAMAAN: Digne (dua kiri) menjaringkan gol menerusi tendangan percuma pada minit akhir permainan pada perlawanan liga di antara Everton dan Watford di Goodison Park, Liverpool kelmarin. — Gambar AFP

LIVERPOOL: Marco Silva juga yang seronok akhirnya ketika dia menentang kelab lamanya Watford apabila tendangan percuma saat akhir daripada pemain pertahanan Everton Lucas Digne menyelamatkan keputusan seri 2-2 yang dramatik di Goodison Park kelmarin.

Silva, pengurus Everton, menentang Watford buat pertama kalinya sejak dia meninggalkan Vicarage Road dengan marah pada Januari lalu.

Pengurus berusia 41 tahun itu dipecat oleh Watford selepas menggalas tugas tidak sampai setahun, dan pemilik kelab itu menyalahkan minat Everton terhadap jurulatih Portugis itu kerana mengganggunya daripada kerjanya.

Penyokong Watford, yang bertandang ke Goodison Park dan yakin dia tidak menghormati mereka apabila dia menunjukkan minat kepada Everton, mengibarkan ular getah dan melaungkan hinaan terhadap Silva.

Dengan hanya beberapa saat lagi sebelum tamat, Silva kelihatan seperti akan digigit oleh bekas majikannya.

Richarlison, pemain Everton yang ditandatangani dari Watford oleh Silva, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada babak pertama.

Jaringan sendiri oleh Seamus Coleman menyamakan kedudukan bagi Watford selepas waktu rehat dan tandukan Abdoulaye Doucoure meletakkan mereka di hadapan sebelum tendangan penalti pemain tengah Everton Gylfi Sigurdsson diselamatkan oleh Ben Foster.

Namun Digne menyelamatkan Silva pada minit keenam dalam masa tambahan untuk memastikan Watford tidak dapat membalas dendam seperti apa yang mereka begitu inginkan.

Silva, yang mendakwa dia tidak peduli tentang cemuhan Watford, berkata: “Sudah tentulah tidak. Saya tidak melihat apa-apa. Ia tidak penting bagi saya. Apa yang saya dapat kawal adalah pemain saya.

“Ia adalah perlawanan yang sukar untuk dibincangkan. Kami hilang fokus sepenuhnya untuk gol-gol mereka.”

Silva, yang akhirnya dilantik oleh Everton pada Mei lalu, merumuskan sifat pemecatannya yang sukar dari Watford pada minggu lepas apabila dia menjelaskan dia tidak rasa sentimental untuk kelab lamanya.

Watford masih menunggu Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menyelesaikan aduan mereka tentang Everton kerana didakwa menjalankan usaha yang menyalahi undang-undang untuk mendapatkan Silva.

Permusuhan dengan Silva mengancam untuk melimpah ke dalam padang selepas kapten Watford Troy Deeney pada minggu lepas berkata dia akan “menghentam” Richarlison kerana meninggalkan pasukan The Hornets.

Namun Richarlison juga yang melakukan kerosakan awal apabila penyerang Brazil itu meletakkan Everton di hadapan pada minit ke-15 dengan golnya yang kelapan dalam 14 penampilan EPL -  tiga gol lebih banyak berbanding jumlah yang dia dapat jaringkan dalam 38 perlawanan bagi Watford pada musim lepas.  

Watford kecewa dengan gol itu apabila mereka merayu dengan sia-sia bagi ofsaid terhadap Theo Walcott dalam satu gerakan yang berakhir dengan Andre Gomes yang menghantar bola lintang kepada Richarlison untuk melakukan penyudah yang tenang melepasi Ben Foster.

Segelintir pemain memilih untuk tidak meraikan jaringan ke atas kelab lama mereka.

Namun selari dengan suasana yang tegang, Richarlison, yang disasari beberapa bentesan keras oleh Watford, tidak segan-silu untuk meraikan jaringannya dengan begitu gembira sekali.

Roberto Pereyra mensia-siakan peluang yang baik untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang Watford itu menanduk bola yang tersasar daripada hantaran lintang Ken Sema.

Pereyra melencongkan tendangan percuma yang tersasar sedikit dan Deeney menyaksikan rembatannya diselamatkan oleh Jordan Pickford selepas waktu rehat.

Tekanan Watford membuahkan hasil pada minit ke-63 apabila Pereyra menyambut bola hantaran lintang oleh Kiko Femenia dengan rembatan yang melantun pada tiang gol dan terkena Coleman ketika dia cuba mengawalnya sebelum ia melantun ke dalam jaring.

Luka ke atas diri sendiri itu disusuli pertahanan seterusnya yang huru-hara apabila Watford merampas gol pendahuluan dua minit kemudian.

Pereyra menjadi pemangkin sekali lagi dengan hantaran lintang yang sampai kepada Doucoure, yang melompat lebih tinggi daripada Coleman untuk menanduk masuk bola dari jarak dekat.

Drama belum berakhir dan Everton mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila kekasaran Christian Kabasele ke atas Yerry Mina memberikan tendangan penalti kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-68.

Sigurdsson tampil untuk melakukan tendangan tetapi rembatannya terlalu dekat dengan Foster dan penjaga gol Watford itu menyelamatkan bola dengan kakinya.

Namun Everton terus mengasak dan usaha mereka membuahkan hasil pada saat-saat akhir waktu tambahan apabila Kabasele memegang bola dan Digne melakukan tendangan percuma yang cantik ke sudut atas untuk gol pertamanya sejak dia berpindah dari Barcelona. — AFP

Advertisement