Anda di sini

Shafie alu-alukan kemasukan Saddi ke dalam Warisan

Advertisement
SADDI (dua dari kiri) menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Shafie, diperhatikan oleh Peter, Junz, Ariffin dan Sariffudin.
SADDI (dua dari kiri) menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Shafie, diperhatikan oleh Peter, Junz, Ariffin dan Sariffudin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal mengalu-alukan kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau yang juga presiden Warisan melahirkan keyakinan di bawah landasan parti itu, penyatuan rakyat Malaysia yang berada di Sabah akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Kita menerima dengan baik kemasukan Saddi ke dalam Warisan... yang penting rakyat yang beliau wakili juga dapat diberi bantuan.

"Kita yakin masih banyak kawasan di peringkat Negeri Sabah yang memerlukan perhatian dan bantuan," katanya pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian Parti Warisan oleh Adun Sukau di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Rabu.

Shafie berkata, Saddi merupakan seorang ahli politik yang begitu lama, mempunyai pengalaman dan dapat berfungsi dengan baik.

Ditanya mengenai tindakan pemimpin Umno Sabah memutuskan untuk keluar dari Umno dan sama ada memohon untuk menyertai Warisan, Shafie berkata, "Kita akan lihat dan tunggu apa yang mereka putuskan tapi saya yakin mereka pun sudah buat keputusan dan memikirkan tentang hala tuju politik yang mereka sertai."

"Saya yakin bahawa keputusan yang dibuat itu amat bertepatan mengenai kedudukan Umno pada saat ini...mereka pun faham dan kita pun faham. 

"Di Semenanjung pun kita lihat tidak ada kesatuan. Kita lihatlah apa yang mereka kehendaki. Mereka pun tidak nyatakan apa-apa cuma mereka katakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri dan juga Kerajaan Warisan. Kita terima baik keputusan itu," katanya.

Pengerusi Badan Pehubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengetuai lima Ahli Parlimen dan sembilan Adun Umno mengisytiharkan untuk keluar dari parti itu pada Rabu dan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan.

Saddi ketika ditemui berkata, Ketua Menteri akan mengadakan lawatan ke kawasan Sukau selepas beliau kembali daripada mengerjakan Umrah.

Katanya, satu majlis besar-besaran akan diadakan pada Januari tahun depan untuk kemasukan kira-kira 4,500 ahli Umno ke dalam Warisan.

"Ahli-ahli Umno ini melibatkan 80 cawangan daripada kira-kira 225 cawangan di bahagian Umno Kinabatangan," katanya.

Di majlis yang sama, Shafie turut menerima borang keahlian Warisan daripada bekas Ketua Wanita Umno Pensiangan Datuk Hajah Zaiton  OKK Anik dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kota Kinabalu Datuk Fatimah Shara.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong, kedua-duanya naib presiden Warisan, selain Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Ariffin Asgali dan Pembantu Menteri Kewangan Sarafuddin Hatta.

  • oleh
  • Advertisement