Anda di sini

Sekarang adalah masa yang sesuai, kata Robben

Advertisement
 Robben meraikan jaringannya ketika membantu Bayern menewaskan Benfica pada aksi Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich pada 27 November lepas. — Gambar Reuters
MUSIM TERAKHIR: Robben meraikan jaringannya ketika membantu Bayern menewaskan Benfica pada aksi Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich pada 27 November lepas. — Gambar Reuters

BERLIN: Arjen Robben berkata dia mungkin akan bersara pada Jun tahun depan selepas dia mengesahkan dia akan meninggalkan Bayern Munich apabila kontraknya bersama juara bertahan Bundesliga itu tamat.

Robben, yang akan berusia 35 tahun pada Januari depan, mengesahkan dalam edisi majalah Kicker kelmarin bahawa dia akan meninggalkan gergasi Bavaria itu pada hujung musim ini: “Itulah hakikatnya.”

“Sudah tentulah ia satu langkah besar, yang kita tidak buat hanya dalam sehari sahaja.

“Saya banyak memikirkannya dan ia rasa bagus bahawa ia sudah keluar sekarang, juga bagi peminat dan kelab.

“Sekarang adalah masa yang sesuai.”

Selepas tidak bermain dalam dua perlawanan terakhir kerana kecederaan paha, Robben mungkin akan diturunkan apabila Bayern menentang Ajax di stadium lawan dalam Liga Juara-Juara pada malam ini (Rabu).

Kedua-dua pasukan mara ke peringkat 16 terakhir dan Bayern memerlukan hanya satu mata sahaja di Amsterdam untuk memenangi Kumpulan E.

Robben juga tidak bermain dalam kemenangan 3-0 dalam liga di stadium sendiri ke atas Nuremberg pada Sabtu lepas yang meletakkan Bayern di tempat ketiga dan sembilan mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Ketua-ketua kanan Bayern merancang untuk merombak skuad pada musim depan dan Robben berkata sekarang adalah masa yang tepat untuk pergi, walaupun menjaringkan dua gol cantik dalam kemenangan 5-1 ke atas Benfica dua minggu lepas.

“Perlawanan menentang Benfica merupakan pengesahan yang baik bahawa saya dapat bermain pada peringkat tertinggi,” ujarnya.

“Di sisi lain, kelab mahu mengubah wajah pasukan dan saya mahu bersiap sedia untuk masa depan saya.

“Saya cuma gembira dan bersyukur kerana kejelasan itu ada bagi kedua-dua pihak.”

Bagaimanapun Robben berkata dia kini tidak ada rancangan selepas musim ini berakhir.

“Itu tidak jelas sepenuhnya, mungkin saya akan berhenti bermain – ia mengenai menunggu dan melihat kemungkinan yang ada,” katanya.

“Jika tawaran masuk, saya akan benar-benar menimbangkannya 100 peratus dan jika ia adalah sesuatu yang bagus, saya akan terus bermain, tetapi jika tiada tawaran ideal tiba, maka itu mungkin kesudahannya.

“Saya ada tiga anak dan mereka juga mesti rasa gembira, jadi ia bukan hanya mengenai tawaran dari China atau tempat di gurun sahaja.

“Keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam setiap keputusan saya.”

Selepas bermain di Chelsea dan Real Madrid, Robben menyertai Bayern pada 2009 dan kemuncak pembabitannya selama sedekad bersama gergasi Bavaria itu adalah gol kemenangannya dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 2013 di Wembley untuk mencapai kemenangan 2-1 ke atas Borussia Dortmund.

Pemain veteran yang lincah dan cenderung mengalami kecederaan dari Belanda itu, dan dipilih sebagai pemain terbaik dalam Bundesliga selepas musim pertamanya di Jerman pada 2009/10, sudah memenangi 19 kejuaraan setakat ini bersama Bayern dan memenangi kejuaraan liga Jerman ketujuh bagi dirinya pada Mei lalu. — AFP

Advertisement