Anda di sini

Perluas projek perintis

Advertisement
 Masing menunjukkan tanda bagus semasa meninjau prototaip bas elektrik CRRC yang dilancarkan di BCCK semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan (dua kiri) serta yang lain.
MESRA ALAM: Masing menunjukkan tanda bagus semasa meninjau prototaip bas elektrik CRRC yang dilancarkan di BCCK semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan (dua kiri) serta yang lain.

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan disyor meneliti kemungkinan kerjasama dengan syarikat bas elektrik dari China untuk mengendalikan bas percuma sempena Tahun Melawat Sarawak 2019.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat pengeluar bas elektrik berkenaan Zhejiang CRRC Electric Vehicle Co. Ltd, merupakan syarikat yang menjalin kerjasama dalam projek perintis Bas Elektrik Bandar Raya CRRC yang baharu sahaja dilancarkan produknya di sini.

“Saya telah dimaklumkan bahawa perkhidmatan bas elektrik CRRC, projek perintis yang dibiayai oleh swasta disediakan percuma kepada semua penduduk tempatan dan pelancong selama tiga bulan dan akan mula beroperasi awal tahun depan.

“Sempena Tahun Melawat Sarawak 2019, mungkin Kementerian Pelancongan boleh melihat sejauh mana mereka dapat bekerjasama dengan CRRC dengan memperluaskan perkhidmatan bas percuma ini untuk sepanjang Tahun Melawat Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing sempena Majlis Pelancaran Prototaip Bas Elektrik Bandar Raya CRRC yang pertama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Prototaip bas elektrik yang dilancarkan itu merupakan produk projek perintis antara sektor swasta tempatan, HENZ Pasific Sdn Bhd dan syarikat dari China, Zhejiang CRRC Electric Vehicle Co. Ltd.

Tambah Abang Johari, dengan demikian ia adalah publisiti yang baik untuk Sarawak dan industri pelancongan dari segi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi ekopelancongan yang mampan.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama CRRC kata beliau, kerajaan Sarawak mengalu-alukan cadangan syarikat itu dalam mempertimbangkan serta meneroka kemungkinan menubuhkan kilang pemasangan bas elektrik, dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan di Kuching.

“Ini adalah strategi pemasaran yang baik yang dimulakan CRRC dan Sarawak boleh menjadi platform mereka untuk pasaran ASEAN.

“Kerajaan negeri menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) yang secara langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Masing pada sidang media berkata, kerjasama pihak China dengan syarikat swasta tempatan dalam mengendalikan projek bas elektrik itu amat bertepatan.

Beliau berkata, pemilihan Sarawak sebagai tempat pertama bagi pelancaran produk rasmi pertama mereka amat wajar kerana Sarawak kaya dengan sumber tenaga melalui empangan-empangan hidroelektriknya.

“Kita mempunyai lebih kurang 4,700 megawatt (mw) tenaga yang dijana daripada empat empangan hidrolektrik, iaitu terbesar Empangan Bakun, selain Murum, Batang Ai dan akan datang Empangan Baleh.

“Saya berasakan pemilihan Kuching oleh CRRC ini adalah pilihan yang amat baik sebagai projek perintis,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement