Anda di sini

Perkhidmatan bas elektrik beroperasi awal 2019

Advertisement
 Prototaip bas elektrik CRRC yang dilancarkan, semalam yang dijangka menjalan operasi awal tahun hadapan di Kuching.
KEMUDAHAN: Prototaip bas elektrik CRRC yang dilancarkan, semalam yang dijangka menjalan operasi awal tahun hadapan di Kuching.
 Lai semasa membentangkan tentang laluan projek perintis bas elektrik CRRC di sekitar bandar raya Kuching.
LALUAN: Lai semasa membentangkan tentang laluan projek perintis bas elektrik CRRC di sekitar bandar raya Kuching.

KUCHING: Warga bandar raya ini khasnya dijangka dapat menikmati perkhidmatan bas elektrik apabila ia beroperasi awal tahun depan.

Bas elektrik yang merupakan projek perintis syarikat swasta tempatan HENZ Pasific Sdn Bhd bersama syarikat pengeluar dari China, Zhejiang CRRC Electric Vehicle Co. Ltd.

Dikenali sebagai Bas Elektrik Bandar Raya CRRC, prototaip bas elektrik berkenaan telah dilancarkan semalam oleh Timbalan Ketua Menteri  merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Pengarah Urusan HENZ Pasific Sdn Bhd Henry Lai dalam pembentangan sempena pelancaran bas berkenaan berkata, bas elektrik itu akan menggunakan laluan sejauh 14 kilometer sebagai permulaan projek.

Ia menurut beliau melibatkan laluan antara bangunan komersial Satok, laluan Jejak Warisan (Heritage Trail) dan bangunan komersial iCOM Square.

“Bas elektrik dijangka akan bermula awal tahun depan dan sebagai permulaan kami memberi tempoh tiga bulan perkhidmatan percuma kepada warga tempatan dan pelancong sebaik bermula pada tahun depan.

“Bas akan memulakan perjalanannya di Main Bazaar mulai jam 7 pagi dan akan berakhir jam 6 petang di Jalan Khoo Hun Yeang (Open Air Market),” katanya.

Lai berkata dengan reka bentuk yang moden, bas itu menawarkan pelbagai kemudahan teknologi terkini seperti kamera litar tertutup sebagai langkah keselamatan, Wi-Fi percuma, selain aplikasi sistem penjejakan bas (GPS), bas elektrik CRRC juga mesra orang kurang upaya (OKU) dengan kerusi khas OKU.

Jelas beliau, bas elektrik itu menyediakan 53 tempat duduk dan tempat berdiri serta kerusi mesra OKU.

Mengulas lanjut Lai berkata, sebagai usaha seterusnya dijangka beberapa bas elektrik akan menyusul secara berperingkat untuk perkhidmatan.

Katanya bagi stesen pengecas elektrik bas berkenaan ia ditubuhkan di Depo di sini.

Hadir sama wakil Zhejiang CRRC Electric Vehicle Co.Ltd Zheng Wei dan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan.

Advertisement