Anda di sini

Pakaian seragam pasukan bomba sukarela diwujudkan tahun depan

Advertisement
 Amer (tengah) bergambar bersama anggota dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) pada Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kewangan Kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Ibu Pejabat Bomba Negeri Terengganu semalam. Turut kelihatan Azlimin (empat kanan). — Gambar Bernama
TERBAIK: Amer (tengah) bergambar bersama anggota dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) pada Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kewangan Kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Ibu Pejabat Bomba Negeri Terengganu semalam. Turut kelihatan Azlimin (empat kanan). — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan mewujudkan pakaian sera-gam khas bagi 14,308 anggota yang menyertai 386 pasukan bomba sukarela di seluruh negara mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPBM, Datuk Amer Yusof berkata ia sebagai satu usaha JPBM memperkasakan fungsi pasukan bomba sukarela di samping melakukan beberapa penambahbaikan lain seperti penyelarasan waktu tindakan dan elaun turun ke lokasi.

“Ketika ini pasukan bomba sukarela hanya kongsi lambang yang sama tetapi tidak mempunyai pakaian seragam khas kerana jenis pakaian ditentukan mengikut keupayaan dan bajet pasukan masing-masing.

“Penambahbaikan ini sebab kita tak mahu asingkan fungsi kedua-dua pasukan Bomba dan Bomba Sukarela...biar sehati sejiwa dan supaya mereka juga lebih bersemangat untuk sama-sama turun padang ketika berlaku kecemasan terutama yang melibatkan kes kebakaran… pakaian seragam ini dijangka siap pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran bantuan kewangan kepada 307 pasukan Bomba sukarela berjumlah RM1.11 juta yang turut dihadiri Pengarah JPBM Terengganu, Azlimin Mat Noor di Ibu Pejabat JPBM Terengganu di sini semalam. — Bernama

Mengulas mengenai pembayaran elaun sebanyak RM6 sejam kepada anggota pasukan bomba sukarela, Amer berharap kerajaan dapat meluluskannya secepat mungkin kerana JPBM telah memohon sejak 2015.  

Katanya, kewujudan pasukan bomba ini di samping berfungsi sebagai pasukan bantu mula, turut menjimatkan perbelanjaan kerajaan daripada mewujudkan balai baharu yang melibatkan kos kira-kira RM3 juta bagi setiap balai.

“Sekarang kita ada 386 pasukan bomba sukarela di seluruh negara dan di situ sahaja kerajaan sudah jimat RM1.1 bilion kerana tidak perlu mewujudkan balai baharu khususnya di pekan-pekan kecil kerana tidak ekonomi.

“Justeru, kita memang menggalakkan penubuhan pasukan bomba baharu dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 50 pasukan baharu dapat diwujudkan tahun depan,” katanya. — Bernama

Advertisement