Anda di sini

Najib dan Arul Kanda didakwa hari ini

Advertisement
 Arul Kanda Kandasamy hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
HADIR: Arul Kanda Kandasamy hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, akan menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan semalam berkata ia telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Najib dan Arul Kanda di mahkamah hari ini.

“Bacaan pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember 2018, jam 8.00 pagi,” kata SPRM.

SPRM menahan Najib kira-kira dua jam setengah kelmarin bagi melengkapkan proses akhir siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM berkata Arul Kanda pula ditahan pada jam 10.32 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM bagi tujuan sama. Arul Kanda tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Najib tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Berikutan itu, beberapa individu telah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes antaranya bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad. — Bernama

Advertisement