Anda di sini

Miliki dan sembunyi harta curi, lelaki didenda RM7,500

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM7,500 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan dengan curang memiliki dan menyembunyikan harta curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Siaw Tzih Kong, 46, dari Kampung Air Manis, Jalan Kuching-Serian didapati dengan curang memiliki harta curi iaitu seutas rantai emas, tiga utas jam tangan dan 16 butir batu jed hijau kepunyaan seorang wanita warga emas, Szetu Gui Fong, 73.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 pagi, 28 November lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Boulevard Centre di sini.

Bagi kesalahan itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja memindahkan harta curi iaitu satu unit telefon bimbit kepunyaan wanita warga emas yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.54 petang, 16 November lalu di kaunter sebuah hotel bajet di sini.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM3,500 atau enam bulan penjara dan bagi kesalahan kedua, didenda RM4,000 atau enam bulan penjara.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement