Anda di sini

Isytihar walaupun tidak memiliki harta: Muhyiddin

Advertisement
 Muhyiddin ketika sidang media mengenai Perhimpunan Agung PPBM di Petaling Jaya semalam. — Gambar Bernama
TEGAS: Muhyiddin ketika sidang media mengenai Perhimpunan Agung PPBM di Petaling Jaya semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: “Isytiharlah walaupun tiada harta”.

Demikian nasihat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ahli parlimen termasuk dari Pakatan Harapan yang masih belum mengisytiharkan harta kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata isu ini akan selesai jika mana-mana individu yang belum  mengisytiharkan harta, berbuat demikian seperti yang diminta dan ditetapkan.

“Bagi saya sendiri, ia sudah selesai (diisytiharkan). Ikutlah jadual yang ditetapkan. Nasihat saya, buatlah walaupun kosong. Senang, letak sahaja tiada harta,” katanya dalam sidang akhbar parti BERSATU di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung BERSATU Datuk Marzuki Yahya dan Setiausaha Kerja Bersatu Pusat Kapten  (B) Muhamad Suhaimi Yahya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin dilaporkan berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang tempoh akhir bagi ahli parlimen mengisytiharkan harta mereka.

Sebanyak 13 ahli parlimen belum mengisytiharkan harta kepada SPRM seperti terdapat di dalam Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/) sehingga jam 5 petang Ahad.

Ditanya mengenai prestasi menteri-menteri besar di kalangan anggota BERSATU setakat ini, Muhyiddin mengakui ada yang tidak mempunyai pengalaman dan memerlukan masa untuk menunjukkan kebolehan dan prestasi yang lebih baik untuk dinilai masyarakat dan rakyat.

“Ada yang ok dan tidak ok. Yang pentingnya, mereka mesti faham tugas dan kerja. Kita tahu, sebahagian dari mereka ada yang baharu dan belum ada pengalaman. Ada perkara yang perlu ditambah baik. Rakyat akan membuat penilaian. Kita perlu terima hakikat itu,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Ketika ini, BERSATU mempunyai tiga Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Kedah), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak), dan Datuk Osman Sapian (Johor).  

Mengulas mengenai mesyuarat semalam, ahli parlimen Pagoh itu berkata, ia membincangkan perhimpunan agung parti BERSATU pada hujung bulan ini.

Katanya, kira-kira  3,000  perwakilan dari semua sayap dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu pada 28 hingga 30 Disember yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jelasnya, selaku presiden, beliau akan merasmikan perhimpunan itu sebelum pembentangan laporan mesyuarat agung oleh pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembentangan usul menyokong ucapan dasar pengerusi.

“Antara (perkara) yang akan dibawa ke perhimpunan itu adalah penjelasan parti berhubung perjuangan Melayu dan Bumiputera berikutan kegelisahan yang dibangkitkan sesetengah pihak yang keliru dengan parti,” tambahnya. — Bernama

Advertisement