Anda di sini

Hukuman lebih berat menanti peniaga, sindiket seludup rokok, minuman keras

Advertisement
 Subromaniam ketika sidang media sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia Ke-86 Tahunan 2018 semalam.  — Gambar Bernama
BERI AMARAN: Subromaniam ketika sidang media sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia Ke-86 Tahunan 2018 semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Peniaga dan sindiket penyeludupan rokok serta minuman keras akan dikenakan hukuman lebih berat selepas pindaan Seksyen 135 Akta Kastam 1976 dan Seksyen 74 Akta Eksesais 1976 diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T. Subromaniam berkata denda minimum sebanyak RM100,000 akan dikenakan bagi kesalahan penyeludupan rokok dan minuman keras, selepas kedua-dua akta itu dijangka dikuat kuasa 1 Januari tahun hadapan.

“Saya ingin beri amaran kepada semua kedai yang jual rokok dan minuman keras tetapi tidak bayar cukai untuk hentikan kegiatan dengan segera.

“Setiap tahun kastam membawa 2,000 kes penyeludupan rokok ke mahkamah namun ianya kurang berkesan, selepas pindaan akta ini kita tengok siapa berani jual,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia Kali Ke-86 di Subang Jaya dekat sini, semalam.

Beliau berharap hukuman itu dapat meningkatkan pematuhan dalam kalangan peniaga supaya mendapatkan bekalan rokok dan minuman keras daripada saluran yang sah.

Semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Akta Kastam 1967 dan Akta Eksesais 1967 yang bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan dan pengelakan duti rokok serta minuman memabukkan.

Sebelum ini, mereka yang didapati bersalah menjual dan memiliki rokok seludup mengikut seksyen sama akta berkenaan hanya dikenakan hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata pihaknya juga mengambil langkah mengetatkan syarat lesen import rokok dengan mengenakan had minimum pengimportan.

“Syarikat yang mempunyai lesen import selama tiga tahun atau lebih hendaklah membuat pengimportan minimum sebanyak 2.5 juta batang rokok pada setiap suku tahun.

“Bagi yang mempunyai lesen import kurang tiga tahun pula hendaklah membuat pengimportan minimum sebanyak 1.25 juta batang pada setiap suku tahun,” katanya dan menambah tindakan ini dibuat untuk mengelak salah guna lesen.

Selain itu, beliau berkata tindakan tegas telah diambil kepada ejen kastam yang melakukan kesalahan membuat pengikraran yang tidak benar ke atas dokumen pengimportan dan pengeksportan.

“Sehingga 22 Oktober lepas, seramai 1,632 ejen penghantaran dan 543 ejen perkapalan kastam telah dibatalkan lesen,” katanya.

Melalui langkah yang diambil ini, Subromaniam berkata pihaknya menjangkakan kutipan hasil cukai rokok akan meningkat kepada RM4.6 bilion pada tahun hadapan berbanding RM3.6 billion tahun ini manakala  penambahan sebanyak RM300 juta pula dijangka mampu dikutip melalui cukai bagi minuman keras. — Bernama

Advertisement