Anda di sini

APM Johor terima 13 aset baharu mantapkan kecekapan operasi bencana

Advertisement
 Azmi (dua kanan) menyampaikan replika bot dan kit makanan bencana kepada Penolong Pegawai Daerah Segamat Ungku Mohamed Alif U.Farouk (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor di Dataran Mahkota semalam. Turut sama Pengarah APM Johor Kolonel (PA) Mat Zin Bujang (kanan). — Gambar Bernama
SERAH: Azmi (dua kanan) menyampaikan replika bot dan kit makanan bencana kepada Penolong Pegawai Daerah Segamat Ungku Mohamed Alif U.Farouk (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor di Dataran Mahkota semalam. Turut sama Pengarah APM Johor Kolonel (PA) Mat Zin Bujang (kanan). — Gambar Bernama

ISKANDAR PUTERI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor menerima 13 aset baharu bernilai RM2.27 juta bagi memantapkan kecekapan operasi menyelamat dan menghadapi bencana alam di negeri ini khususnya banjir.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani berkata agensi berkenaan turut menerima 1,500 unit Kit Makanan (KM) Bencana bernilai RM105,000 daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai makanan permulaan kepada keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan bencana.

“Kesemua perolehan aset menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu membabitkan sebuah lori model Tatra seberat tujuh tan, sebuah lori model Iveco seberat lima tan, tujuh bot penyelamat jenis aluminium berserta enjin 60 kuasa kuda serta empat bot penyelamat pantai jenis getah (inflatable) berserta enjin 40 kuasa kuda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan aset dari kerajaan pusat di Kota Iskandar, di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah APM Johor Kol (PA) Mat Zin Bujang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Dr Badrul Hisham Kassim.

Azmi berkata penyerahan kesemua aset dan kit makanan tersebut menunjukkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah dalam fasa kesiapsiagaan bagi menghadapi kejadian banjir khususnya Monsun Timur Laut dari November lepas hingga Mac depan.

Beliau berkata kesemua aset dan kit makanan kemudian diagihkan ke seluruh daerah di negeri ini.

“Berdasarkan ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, Johor akan mengalami satu hingga dua luruan monsun yang boleh mengakibatkan banjir. Dengan penyerahan 13 aset ini, kerajaan negeri yakin ia dapat memperkasakan lagi jentera pengurusan bencana sekiranya berlaku bencana khususnya banjir,” katanya.

Menurut Azmi, selain 13 aset terbaharu itu, sebanyak 237 aset sedia ada merangkumi 89 lori dan 148 bot bersama 5,107 anggota penyelamat terdiri daripada APM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kesihatan Johor turut bersiap siaga menghadapi banjir. — Bernama

Advertisement