Anda di sini

Tingkat kawalan keselamatan di perairan Sabah: Liew

Advertisement

SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong meminta pasukan keselamatan di kawasan pantai timur negeri ini, khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), untuk meningkatkan lagi tahap kawalan keselamatan bagi mengelak berlakunya jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan.

Katanya tindakan itu perlu bagi memastikan keselamatan rakyat Sabah terus terpelihara tanpa diancam oleh kejadian tidak diingini.

Beliau berkata dalam beberapa tempoh sebelum ini, kejadian culik sudah berlaku beberapa kali dan kejadian terbaharu di mana empat lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai cuba melakukan rompakan ke atas bot tunda di perairan Pegasus Reef dekat Kinabatangan.

“Dalam kejadian 6.30 petang Rabu itu, dua das tembakan telah dilepaskan oleh kumpulan lelaki terbabit yang mana satu das telah terkena paha sebelah kiri tekong bot tunda itu,” katanya.

“Sehari selepas itu, kita dikejutkan lagi dengan laporan kehilangan empat nelayan berhampiran lokasi yang sama selepas pasukan keselamatan menemui sebuah bot nelayan dengan enjin yang masih hidup.

“Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan kebimbangan masyarakat terutamanya nelayan untuk turun ke laut menangkap ikan,” katanya ketika mengulas kejadian itu.

Beliau sebelum itu telah membuat lawatan kerja dan merasmikan Program Khidmat Masyarakat di Kampung Tronglit Pulau Timbang dalam Parlimen Batu Sapi, petang Sabtu.

Liew yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata pasukan keselamatan perlu berusaha meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah.

Pihaknya yakin setiap anggota keselamatan yang melaksanakan tugas di kawasan perairan adalah terlatih dan mempunyai keupayaan pertempuran yang mantap serta mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, kebolehan itu tidak mencukupi jika tidak dilaksanakan sekali dengan strategi pelaksanaan kawalan secara sistematik dan berkesan dalam memerangi jenayah.

Beliau berkata usaha berkenaan juga perlu disertai dengan kerjasama daripada pelbagai pihak selain bantuan aset yang boleh menguatkan lagi pertahanan sempadan negara.

“Saya berharap masyarakat juga secara keseluruhannya memberi kerjasama dan sentiasa bersama dengan pasukan keselamatan demi menjaga keamanan negeri ini,” katanya.

Advertisement