Anda di sini

Singapura harap isu maritim dibincang secara konstruktif dan aman, tegas Heng

Advertisement

SINGAPURA: Menteri Kewangan Singapura yang juga bakal Perdana Menteri republik itu telah melahirkan harapan agar kedua-dua negara dapat membincangkan isu maritim secara ‘konstruktif dan aman selaras dengan undang-undang antarabangsa.’

“Ini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam entri terbaharu di akaun Facebooknya.

Heng yang membuat ulasan pertama berhubung isu itu menyatakan: “Malaysia adalah jiran terdekat kita. Kita mempunyai hubungan rapat antara rakyat dan rakyat. Singapura meminta kerjasama yang rapat dengan Malaysia.”

Dalam entri itu juga, beliau menggesa Malaysia menghentikan dakwaan pencerobohan kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan wilayah Singapura, dengan mengatakan ia adalah melanggar kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa.”

“Ini adalah perkara serius demi kepentingan negara. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi melindungi kedaulatan dan wilayah Singapura,” katanya.  

Pada 7 Disember, Kementerian Luar Singapura berkata negara itu tidak bersetuju dengan cadangan Malaysia bagi kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata Singapura “bersedia untuk membincangkan isu ini dengan Malaysia secara konstruktif dalam semangat memelihara hubungan dua hala kita yang penting.”

Dalam respons pada 8 Dis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung sempadan maritim akan ditangani berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

“Banyak pihak sering membuat dakwaan mengenai sempadan masing-masing sehingga mencetuskan pelbagai pertikaian, jadi, kita akan selesaikan pertikaian ini berdasarkan peruntukan undang-undang dan hak kita,” katanya kepada pemberita. — Bernama

Advertisement