Anda di sini

Samsudin keluar Umno 

Advertisement
SAMSUDIN bersama pemimpin Umno Bahagian Batu Sapi keluar parti. 
SAMSUDIN bersama pemimpin Umno Bahagian Batu Sapi keluar parti. 

SANDAKAN: Mantan Ketua Umno Bahagian Batu Sapi yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya bersama pemimpin bahagian itu dan 55 ketua cawangan serta 500 ahli umum keluar Umno. 

Turut bersama keluar, Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Sapi Zantapha Jainal Abidin, Ketua Puteri Umno Batu Sapi Hazulizah Md Dani, Naib Ketua Wanita Umno Batu Sapi Suhana Ag Tahir dan mantan Ketua Wanita Umno Batu Sapi Jamayah Haji Sapawi.

Samsudin dalam sidang medianya di sini berkata berdasarkan kepada perkembangan landskap politik hari ini, mereka mengambil keputusan dan mengisytiharkan keluar dari Umno secara beramai-ramai selepas berkhidmat selama lebih kurang 27 tahun untuk parti.

“Saya dan rakan-rakan, dengan mengambil kira situasi yang ada dan beberapa faktor, kami telah hilang kepercayaan kepada ketua bahagian Umno Batu Sapi, kerana gagal dalam usaha untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat serta ahli parti di Bahagian Batu Sapi.

"Kami berpendapat perlunya ada satu parti yang boleh dijadikan sandaran untuk membela kepentingan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah, selari dengan pucuk kepimpinan politik di peringkat nasional hari ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masih mengekalkan kepercayaan yang tinggi kepada Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah dan menyokong penuh apa juga langkah yang akan diambil untuk membawa hala tuju wadah perjuangan mereka seterusnya.

“Kami dengan ini juga menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Di kesempatan itu, Samsudin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan di kawasan Batu Sapi, negeri mahupun di peringkat nasional yang telah banyak membantunya selama berkhidmat bersama Umno.

Ditanya sama ada betul Umno Sabah akan bubar, beliau hanya berkata, "tengok TV saja."

Ketika ditanya mengapa wakil-wakil parti seperti DAP dan PKR hadir pada majlis pengumuman itu, beliau berkata dahulu pun mereka bersama dengannya juga.

Selepas umum keluar parti, Samsudin berkata dia serta rakan-rakan masih patuh kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dan masih meletak kepercayaan pada Hajiji serta menyokong apa juga langkah yang beliau akan ambil selepas ini.

Untuk rekod, ketua bahagian Umno Batu Sapi kini disandang oleh Khairul Firdaus Akhbar Khan selepas menewaskan Samsudin pada pemilihan Umno Bahagian Batu Sapi Julai lepas.
 

  • oleh
  • Advertisement