Anda di sini

Rabies ragut korban ke-15 di Sarawak

Advertisement
Mayat mangsa dituntut oleh keluarganya di Unit Perubatan Forensik HUS, di sini semalam.
Mayat mangsa dituntut oleh keluarganya di Unit Perubatan Forensik HUS hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki berusia 64 tahun yang dijangkiti rabies meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar pukul 6.43 pagi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat Encephalitis Rabies, sekali gus menjadikan jumlah kematian disebabkan rabies dalam kalangan manusia meningkat kepada 15 kes.

"Jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak wabak ini diumumkan pada 30 Jun 2017 adalah 16 kes; termasuk 15 kematian. Kes yang hidup adalah seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah," katanya.

Beliau dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu mangsa berusia 64 tahun itu digigit pada pertengahan September lepas.

"Mangsa bagaimanapun hanya mencuci luka gigitan tersebut dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan sehingga 27 November dia dibawa ke sebuah klinik swasta apabila mengalami sakit lutut serta lemah anggota badan.

"Pada 2 Disember, mangsa telah mendapatkan rawatan di HUS selepas keadaannya semakin teruk dan dia dimasukkan ke wad penyakit berjangkit," katanya.

Sejak 30 Jun sehingga 11 Disember, kerajaan negeri mengsiytiharkan 56 kawasan di 11 bahagian di seluruh negeri sebagai kawasan jangkitan rabies dan hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

Berita berkaitan: Dua kes terbaharu disyaki rabies di Sarawak
 

Advertisement