Anda di sini

Program baharu ganti PLKN, BTN gabung aktiviti ‘indoor’ dan ‘outdoor’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti ‘indoor’ dan outdoor’ yang berimpak tinggi, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya program bertujuan menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Program baharu ini akan dijalankan mengikut empat peringkat yang membentuk kesinambungan kepada program pembangunan belia dari peringkat asas hingga peringkat tertinggi.

“Peringkat pertama melibatkan 500,000 pelajar 15 tahun dan 500,000 pelajar 17 tahun di sekolah. Seterusnya 28,000 hingga 70,000 pelajar (berdasarkan bajet yang diterima) akan dipilih untuk diserapkan ke peringkat kedua yang menggunakan modul ‘Outward Bound Malaysia’ yang menerapkan cita rasa kepimpinan,” katanya ketika menggulung Perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK-11 bagi kementeriannya di Dewan Negara, semalam.

Syed Saddiq berkata program ini juga akan menggunakan kem BTN dan kemudahan sedia ada di bawah kementerian dan dilaksanakan selama 10 hingga 14 hari.

“Seramai 200 peserta terbaik daripada peringkat kedua akan dimasukkan dalam program Malaysia Future Leaders School (peringkat ketiga) yang mengadaptasi program Japanese Future Leaders School dan dilatih menjadi pelapis pemimpin negara dan sektor korporat.

“Peringkat keempat pula akan menempatkan peserta peringkat ketiga ke program kementerian seperti felo perdana dan felo korporat yang membolehkan peserta mengikuti program mentor-menti bersama anggota jemaah menteri dan tokoh ternama di sektor korporat,” katanya. — Bernama

Advertisement