Anda di sini

Pemuda dipenjara setahun, menyimpan harta curi

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pemuda tempatan berusia 22 tahun yang mengaku salah menyimpan harta curi, dikenakan penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini. 

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Adzuanwanan Jusnan selepas mengaku salah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. 

Hukuman yang diperuntukkan penjara selama tempoh lima tahun atau denda, atau kedua-duanya. 

Tertuduh dengan curang menyimpan sebuah mesin pemotong rumput yang diketahuinya sebagai harta curi, milik seorang lelaki berusia 36 tahun. 

Kesalahan didapati dilakukan pada 30 Oktober jam 9.30 malam di parkir kereta Apartmen Cybercity, daerah Penampang. 

Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan polis pada 21 Oktober, setelah rumahnya dimasuki pencuri dan beberapa barang hilang yang mana jumlah kerugian sebanyak RM3,500. 

Berdasarkan siasatan polis, pengadu yang keluar pada 20 Oktober tiba di rumahnya pada esok hari, mendapati pintu tidak berkunci dan tingkap bilik juga dibuka luas serta keadaan berselerak. 

Setelah memeriksa, beliau mendapati sebuah komputer riba, mesin pemotong rumput dan telefon pintar hilang disyaki dicuri. 

Pengadu memaklumkan kepada polis bahawa beliau meninggalkan rumah dengan keadaan berkunci. 

Sementara itu Mohd Iq Ruzaini Mahadi, 23, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah. 

Oleh itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 14 Disember terhadap tertuduh yang diwakili peguam Eric Mah. 

Pendakwaan berkenaan dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Suzie@Stephanie Kupit. 

  • oleh
  • Advertisement