Anda di sini

Pelajar hilang wang RM16,000 ditipu ‘Macau Scam’, tiga selamat

Advertisement

MIRI: Seorang pelajar menjalani latihan praktikal berusia 21 tahun menjadi mangsa modus operandi ‘Macau Scam’ terkini dan kehilangan wang sejumlah RM16,000 dari akaunnya.

Kejadian berlaku pada 8 Disember lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang pemanggil memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mahkamah.

Suspek memberitahu bahawa mangsa ada terlibat dengan satu kes langgar lari serta pengubahan wang haram di Kuala Lumpur.

Dalam perbualannya dengan suspek, mangsa berasa panik dan terus pergi ke sebuah mesin tunai automatik (ATM) sebuah bank di Batu Niah, dekat sini serta menuruti arahan suspek membuat pindahan wang ke akaun bank suspek.

Pada 9 Disember lalu, sekitar jam 12 tengah hari mangsa membuat semakan baki dalam akaun bank miliknya di sebuah ATM, Jalan Bendahara di sini dan terkejut apabila mendapati wang berjumlah RM16,000 telah dikeluarkan dari akaunnya.

Menyedari dirinya ditipu mangsa kemudian membuat laporan polis di sini.

Sementara itu, tiga lagi laporan penipuan ‘Macau Scam’ turut diterima pada 9 Disember lalu dengan dua kes berlaku di Miri dan satu lagi di Bintulu. Namun ketiga-tiga mangsa berjaya mengelak ditipu dan tiada kerugian berlaku.

Dalam dua kes di Miri, seorang wanita berusia 32 tahun yang juga pakar kecantikan menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Jacky dari Mahkamah Shah Alam dan memberitahu mangsa terlibat kemalangan kereta BMW di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan meminta mangsa hadir ke Mahkamah Shah Alam.

Dalam perbualannya, suspek memberitahu identiti mangsa digunakan orang lain namun mangsa berasa tidak percaya dengan kata-katanya dan memutuskan talian telefon tersebut kerana berasa suspek cuba memperdayakannya.

Mangsa tidak membuat sebarang bayaran dan tidak mengalami kerugian.

Manakala dalam satu kes berasingan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 39 tahun menerima panggilan telefon mengatakan terdapat hutang GST sejumlah RM51,000 didaftarkan atas nama mangsa.

Mangsa kemudian disambungkan ke panggilan kepada polis dan mereka mengatakan mangsa terlibat dengan sindiket wang haram.

Mengesyaki panggilan itu merupakan penipuan dan bimbang dengan butiran peribadi disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, mangsa membuat laporan polis namun tidak mengalami kerugian kerana tidak membuat sebarang pembayaran kepada suspek.

Sementara dalam satu kes di Bintulu, seorang suri rumah, 27, turut menerima panggilan telefon daripada lelaki memperkenalkan diri Mohd Daniel Safuan Mohd Saleh memberitahu mangsa tidak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan mengenai pinjaman kad kredit RM10,000 (Hong Leong Bank Melaka) dan ada tunggakan sejumlah RM8,795.75 di alamat rumah No.47 Jalan Seri Raya, Taman Muzafar Height, 75450 Melaka.

Selepas itu. suspek menyambungkan talian mangsa ke ‘IPD Melaka’ untuk bercakap dengan Inspektor Maria mengenai kes tersebut dan Inspektor Maria menyambungkan talian ke Kementerian KDN dan mangsa bercakap dengan seorang lelaki dan lelaki tersebut memberitahu mangsa ada terlibat pengubahan wang haram dan mengedar dadah.

Mangsa menafikan tuduhan kerana tidak pernah ke Melaka pada tarikh tersebut dan mangsa tidak membuat sebarang bayaran dan tidak mengalami kerugian dalam perkara ini sebaliknya melaporkan penipuan itu ke balai polis di Bintulu.

Advertisement