Anda di sini

KPLB terima peruntukan RM14 juta 

Advertisement
EWON (kanan) menyambut ketibaan Shafie di majlis itu.
EWON (kanan) menyambut ketibaan Shafie di majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM14 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Sabah tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, secara keseluruhannya dalam Bajet 2019, kementeriannya diberikan peruntukan pembangunan sebanyak RM94,357,000.

“Ini merangkumi Projek Pembangunan Kecil sebanyak RM4,500,000; Program Ameniti dan Ekonomi Desa RM867,000; Program Satu Daerah Satu Produk RM1,170,000; Program Pembangunan Usahawan Desa RM2,100,000; Peruntukan Khas kepada Adun-Adun dan Menteri-Menteri/Pembantu-Pembantu Menteri RM71,720,000; dan Program Pembasmian Kemiskinan RM14,000,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Seluruh Sabah, yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini pada Isnin.

Ewon berkata, walaupun jumlah itu mungkin agak kecil jika dibandingkan dengan cabaran sebenar kerajaan mengangkat penyelesaian keperluan pembangunan luar bandar, namun yang penting adalah memperkenalkan projek-projek kecil luar bandar yang berimpak tinggi secara langsung kepada komuniti luar bandar.

“Kita juga perlu bekerjasama dengan pelbagai kementerian serta agensi dan jabatan kerajaan yang lain, terutama KPLB Persekutuan supaya komuniti luar bandar mendapat manfaat sebaik yang mungkin. 

“Yakinlah bahawa tidak ada hadiah yang lebih baik di atas perjuangan dan perkhidmatan kita selain doa daripada rakyat yang merasai hasil perkhidmatan kita,” katanya.

Beliau juga berharap agar lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan luar bandar pada tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.

Ewon berkata selari dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, maka ada keperluan untuk mengadaptasikan aplikasi teknologi maklumat dengan lebih baik terutamanya dalam penyediaan profil daerah dan kampung secara online. 

“Walaupun pada masa ini, pejabat-pejabat daerah mempunyai laman web masing-masing, tetapi saya percaya bahawa kualiti kandungan terutama aplikasi digital berkaitan pengurusan maklumat profil kampung yang lebih komprehensif dapat membantu kerajaan melalui kementerian ini untuk merancang bajet pembangunan luar bandar.

“Seiring dengan ini, kementerian dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah sedang memuktamadkan 'template' bagi pembangunan aplikasi digital profil kampung berkenaan,” katanya.

Beliau berharap agar template itu dapat dimuktamadkan pada penghujung tahun ini dan seterusnya dapat dibangunkan pada awal tahun depan. 

“Dalam hal ini, kerjasama semua pejabat daerah adalah sangat penting supaya dapat menyelaraskan tindakan bersama MPKK di daerah masing-masing bagi mengisi maklumat digital profil kampung,” katanya.

Menurut Ewon pembangunan profil kampung secara digital adalah penting kerana ia merupakan sumber maklumat asas bagi setiap perancangan pembangunan di kampung berkenaan, seterusnya di setiap daerah.

“Saya difahamkan satu taklimat khas akan diadakan kepada semua pegawai daerah dan penolong pegawai daerah sebelum program ini dilancarkan. Data digital melalui aplikasi ini kelak akan menjadi sumber maklumat rasmi kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Mengenai Program Turun Padang, Ewon berkata dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk mempermudah, mempercepat serta merakyatkan perkhidmatan kerajaan, kementeriannya komited ke arah pelaksanaan pentadbiran melalui program itu.

Objektifnya lebih kurang sama dengan teori dalam bidang pengurusan perniagaan, iaitu 'Management by Walk-About'. 

"Sejak menerajui kementerian ini, saya bersama kedua-dua pembantu menteri, para pegawai kanan KPLB Sabah dan KPLB Persekutuan telah melawat ke beberapa daerah termasuk kampung-kampung yang terpencil. 

“Minggu lepas sahaja, kami meluangkan masa tiga hari melawat Nabawan dan Pagalungan bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat dan mengambil tindakan terhadap rintihan mereka untuk dibawa ke kementerian atau jabatan berkaitan. 

“Malah, setiap kali terdapat isu besar yang saya dapati melalui program turun padang ini, saya akan maklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Advertisement