Anda di sini

Kelewatan Klinik Kesihatan Long Napir gara-gara pihak kontraktor

Advertisement
 Paulus mengharungi jalan balak selama lima jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda ketika menyerahkan sumbangan mangsa kebakaran Rumah Panjang Kim Brim Kartadem, Long Sebayang yang hangus awal Mac lepas.
PRIHATIN: Paulus mengharungi jalan balak selama lima jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda ketika menyerahkan sumbangan mangsa kebakaran Rumah Panjang Kim Brim Kartadem, Long Sebayang yang hangus awal Mac lepas.

“BINA segera klinik kami,” rayu hampir 600 masyarakat Penan di kawasan Hulu Sungai Limbang untuk memiliki sebuah Klinik Kesihatan Long Napir yang dinanti-nantikan sejak 20 tahun lalu.

“Klinik itu apabila dibina nanti dapat meningkatkan mutu kesihatan dan memberi keceriaan hidup dalam kalangan masyarakat kami,” kata salah seorang penduduk Penan Mohd Sulaiman, 40.

Perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman amat penting bagi penduduk Penan yang menetap di kawasan luar bandar serta mempunyai latar belakang sosial ekonomi rendah.

Mohd Sulaiman menambah Klinik Kesihatan Long Napir adalah asas dalam struktur pembangunan kesihatan untuk komunitinya.

``”Kemudahan ini jika dibina mampu menyediakan perkhidmatan penting dalam aspek pencegahan penyakit dan rawatan ringan khususnya kepada ibu dan kanak-kanak,’’ katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang turut senada dengan masyarakat Penan di kawasannya.

“Sungguh mengecewakan melihat perkembangan yang berlaku pada projek Klinik Kesihatan di Long Napir,” ujar beliau.

Paulus berkata masalah klinik yang terbengkalai itu pernah dibincangkan pada Mesyuarat Pembangunan Bahagian Limbang, bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memaklumkan kelewatan itu berpunca daripada pihak kontraktor yang dilantik sebelum ini.

“Saya tidak faham mengapa projek yang sudah diluluskan pada RMK10 masih gagal dibina sehingga kini,” luahnya lagi.

Paulus memberitahu beberapa pegawai dari Kuala Lumpur juga pernah ‘menjenguk’ tapak projek itu beberapa tahun lepas, namun tiada perkembangan positif yang diterimanya agar klinik itu dibina segera.

“Berat mana memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya memahami kesusahan dan beban yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

“Mereka tiada pilihan dan terpaksa turun ke bandar Limbang untuk mendapatkan rawatan jika berdepan masalah kesihatan apatah lagi kos pengangkutan yang membebankan,” katanya lagi.

Beliau berharap kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) dapat menyelami kesengsaraan penduduk sekali gus meneruskan pembinaan projek Klinik Kesihatan Long Napir secepatnya.

Selain mahu melihat komuniti Penan di kawasan Hulu Sungai Limbang dilengkapi dengan klinik kesihatan, katanya pelbagai projek pembangunan turut dilaksanakan di kawasan itu.

“Kerajaan turut membina projek air bertapis untuk masyarakat Penan di Long Napir serta kerja pembaikan jalan balak yang giat dilaksanakan sekarang.

“Malah kebanyakan penduduk di sekitar kawasan itu turut menggunakan sistem air graviti selain pembinaan rumah panjang Penan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu,”beliau memberitahu.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah memberitahu, masalah kelewatan pembinaan klinik itu sudah disuarakan kepada pihak JKR baru-baru ini.

“JKR ada memaklumkan kepada kita untuk mengadakan proses tender semula kepada kontraktor terpilih untuk pembinaan klinik berkenaan.

“Kita amat berharap agar proses tender semula ini dapat dibuat segera untuk menyiapkan klinik yang begitu penting kepada penduduk Penan di pedalaman,” jelasnya.

Hasbi memberitahu kerajaan amat memahami keperluan masyarakat di pedalaman termasuk kaum Penan.

Jelas beliau lagi perkampungan kaum Penan, Long Napir dan Kampung Bahagia antara 50 kampung pedalaman di negeri ini terpilih untuk pelaksanaan fasa pertama Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) dengan kos bernilai RM70 juta.

SARES katanya, satu lagi usaha berterusan kerajaan negeri melalui program pencahayaan komuniti untuk memastikan penduduk pedalaman menikmati bekalan sumber elektrik.

Katanya lagi, sebanyak 300 kampung di kawasan pedalaman di negeri ini telah dikenal pasti untuk dibekalkan tenaga alternatif solar bagi mengurangkan beban kewangan masyarakat yang masih bergantung kepada generator kuasa diesel bermula pada 2016.

“Kita berharap kerajaan melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) turut menyenaraikan kawasan penempatan berhampiran dalam skim tersebut berikutan kawasan tersebut juga masih bergantung kepada kuasa generator,” katanya.

SARES menurutnya perlu diperluaskan di kawasan Penan lain melalui pembekalan tenaga alternatif solar bagi mengurangkan beban kewangan masyarakat yang masih bergantung kepada generator kuasa diesel.

Selain itu beliau turut meminta Jabatan Bekalan Air luar Bandar (JBALB) untuk membaiki segera kerosakan pam di loji air Long Napir.

Akibat kerosakan itu dedahnya, loji air berkenaan sudah lama tidak digunakan dan penduduk bergantung kepada air hujan, gunung dan sungai untuk meneruskan kehidupan.

  • oleh
  • Advertisement