Anda di sini

Jalan Miri-Marudi bakal lonjak jumlah pelancong

Advertisement
 Lee (duduk, tengah) bersama ahli jawatankuasa kumpulan kerja pelancongan Miri pada mesyuarat tersebut semalam.
ALBUM: Lee (duduk, tengah) bersama ahli jawatankuasa kumpulan kerja pelancongan Miri pada mesyuarat tersebut semalam.

MIRI: Apabila projek pembinaan jalan raya menghubungkan Miri dan pekan Marudi dengan Mulu menerusi Long Terawan siap, Kementerian Pelancongan menjangkakan jumlah pelawat asing datang ke sini bakal melonjak.

Ini kerana tarikan utamanya, Taman Negara Gunung Mulu merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kini terkenal di peta dunia, mudah didatangi melalui Miri dan pekan Marudi menerusi jalan darat.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata projek pembinaan Jalan Marudi-Mulu menerusi Long Terawan sepanjang 57 kilometer itu sudah diluluskan manakala tendernya ditutup pada 19 Disember ini.

“Kita menjangka kerja pembinaan bermula tahun depan secara berperingkat-peringkat dengan rekaan jalan dilakukan terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pelancongan Bahagian Miri (TTG) kali kedua di Pejabat Residen Bahagian Miri di sini semalam.  

Beliau berkata laluan jalan menuju ke Mulu itu merupakan salah satu projek infrastruktur menjana industri pelancongan di Miri dan Sarawak amnya.

Menurutnya, tiga lagi infrastruktur pelancongan dibangun dan dalam proses pembinaan di Miri ketika ini ialah Wireless Walk (WW), kini lebih separuh pembinaannya dan dijangka siap akhir Januari atau awal Februari depan dan Bakam Point sudah siap 54 peratus.

Sementara itu, Pantai Tusan dilaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf menjelang akhir Januari atau awal Februari tahun depan, selepas tender projek tersebut ditutup pada 6 Disember lalu dengan kos pembinaan sejumlah RM5 juta.

“Apabila ketiga-tiga projek infrastruktur ini siap, ia diharap mampu melonjakkan pelancongan di Miri sekali gus menjadi tarikan pelawat asing dan domestik ke sini,” tambahnya.

Lee memberitahu, dengan pelancaran Tahun Melawat Sarawak (TMS 2019) pada tahun depan kementerian itu menjangkakan lebih ramai pelancong datang ke negeri ini dan memasuki Sarawak menerusi laluan Sungai Tujuh.

“Apatah lagi, Royal Brunei Airlines (RBA) akan mengembangkan laluan penerbangannya secara terus dari Bandar Seri Begawan ke Kuching sekali gus kita menjangkakan lebih ramai pelancong masuk melalui Sungai Tujuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Imigresen menambah jumlah pegawai bertugas di Pos Kawalan Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQ) Sungai Tujuh, Kuala Baram di sini bermula tahun depan bagi menampung kemasukan pelancong dijangka melonjak.

Ketika ini hanya ada tujuh kaunter imigresen dibuka dengan 15 pegawai bertugas di Pos Kawalan Sungai Tujuh.

  • oleh
  • Advertisement