Anda di sini

Garis panduan minimumkan risiko rasuah dilancar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam melancarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi bagi membantu organisasi komersil dalam industri menggunakan langkah-langkah fundemental bagi meminimumkan risiko rasuah.

Garis panduan itu adalah menurut Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dr Mahathir berkata garis panduan itu digubal bagi membantu pertubuhan komersil memahami ‘tatacara mencukupi’ untuk dilaksanakan bagi mencegah amalan rasuah.

“Penguatkuasaan Seksyen 17A akan bermula pada 1 Jun 2020. Diharapkan pertubuhan komersil mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan diri dengan kewajiban baharu ini yang akan membawa faedah berganda kepada keuntungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup seminar ‘Juara-juara Antirasuah: Sesi Perkongsian dengan Pemenang Anugerah Cemerlang Antirasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani  2018’ di sini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sementara itu,  Dr Mahathir menggesa semua pihak agar memerangi rasuah dengan penuh tekad dan tanpa rasa takut  atau pilih kasih.

“Ini kerana rasuah tetap rasuah tanpa mengira siapa yang melakukannya,” kata beliau yang menambah undang-undang amat penting dalam menangani rasuah dan jenayah itu hanya dapat dikurangkan apabila semua orang mematuhi undang-undang.

Seluruh masyarakat harus faham rasuah adalah jenayah dan penghalang pembinaan bangsa.

“Apabila seseorang dianggap mengatasi undang-undang, rasuah akan berlaku,” katanya.

Bagi sektor swasta, Dr Mahathir berkata antara inisiatif yang diambil kerajaan bagi membanteras rasuah ialah dengan memastikan aktiviti sedemikian dipantau dan dikekang.

Dr Mahathir berkata selain menjadikan tadbir urus baik satu kelaziman, syarikat juga perlu menubuhkan unit governans dan integriti yang diletakkan di bawah lembaga pengarahnya.

Katanya di samping pelaksanaan ISO 370001 Sistem Pengurusan Antirasuah, syarikat dan pertubuhan juga digalak mengadakan latihan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).

“CRM merupakan proses pengurusan yang membantu pertubuhan mengenal pasti risiko rasuah, salah guna kuasa dan penggelapan (wang),” katanya.  

Beliau berkata satu lagi inisiatif antirasuah sedang dirancang menerusi Pelan Anti-Rasuah Nasional yang dijadualkan dilancar pada Januari depan.

Pelan lima tahun itu bertujuan menetapkan sasaran dan inisiatif yang praktikal untuk menangani rasuah di negara ini bagi tempoh 2019-2023. — Bernama

Advertisement