Anda di sini

Dua penganjur tolak ICERD beri keterangan di IPD Dang Wangi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua penganjur perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu hadir beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Wakil dua penganjur iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang tiba jam 4 petang memberi keterangan lebih 40 minit kepada pihak polis.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya berkata pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak polis yang ingin menjalankan siasatan.

“Sekiranya dipanggil balik oleh polis, kami sedia hadir bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Siasatan itu dipercayai antaranya berkaitan dengan tindakan sesetengah peserta membawa kanak-kanak ke perhimpunan yang dihadiri ribuan orang itu walaupun polis melarang kanak-kanak turut terbabit dalam perhimpunan tersebut.

Ditanya akan hal ini, Aminuddin berkata pihaknya telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi setiap peserta.

“Ini membuktikan yang kita (penganjur) telah ambil tindakan wajar, mungkin ada antara peserta ingin pergi membeli-belah bawa anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin menggesa kerajaan membubarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang dilihat mempunyai niat untuk kucar-kacirkan negara.

“Tindakan SUHAKAM yang ingin desak kerajaan (ratifikasikan ICERD) sangat tidak rasional,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam berkata penganjur perhimpunan itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Beliau berkata setakat ini 13 laporan polis telah diterima berhubung perhimpunan tersebut iaitu 10 daripadanya sebelum berhimpunan berlangsung pada 8 Dis lalu selain pihaknya akan merakam percakapan penganjur pada petang semalam.

“Sebelum ini, kami telah memberi syarat kepada penganjur bahawa tiada kanak-kanak akan terlibat dalam perhimpunan itu.

“Mereka telah berjanji namun gagal menunaikan janji tersebut dengan membiarkan peserta membawa kanak-kanak,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Ronda Cegah Jenayah Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) bersama Ketua Polis Negara di Central Market, Kuala Lumpur.

Mohamad Fuzi juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memudahkan kerja polis kerana menjadikan perhimpunan tersebut bebas dari sebarang kelakuan jenayah.

Ditanya perkembangan terbaharu tentang kes melibatkan ahli perniagaan Jho Low dan skandal penyelewengan 1 Malaysia Development Berhad(1MDB), Mohamad Fuzi berkata tiada sebarang perkembangan terbaharu mengenai kes tersebut.

“Kita sudah minta mana-mana pihak berkaitan untuk menyalurkan maklumat kepada kita dan belum ada (sebarang) perkembangan positif. Dan kalau boleh, memang kita nak bawa dia balik ke negara kita untuk didakwa,” katanya.

Dalam pada itu seramai 110 pelatih terlibat dalam Ronda Cegah Jenayah Pelatih PULAPOL selama enam jam semalam bermula 10 pagi hingga 4 petang bagi membuat rondaan secara ‘foot patrol’ di kawasan yang ditetapkan untuk mendedahkan pelatih dengan penugasan sebenar yang memerlukan mereka memenangi hati orang awam bagi membanteras jenayah. — Bernama

Advertisement