Anda di sini

Benitez tuntut VAR dilaksanakan segera

Advertisement
 Benitez (kanan) memberikan arahan kepada pemainnya ketika perlawanan liga di antara Newcastle dan Wolverhampton di St James’ Park, Newcastle Ahad lepas. — Gambar AFP
CANAI STRATEGI: Benitez (kanan) memberikan arahan kepada pemainnya ketika perlawanan liga di antara Newcastle dan Wolverhampton di St James’ Park, Newcastle Ahad lepas. — Gambar AFP

NEWCASTLE: Rafael Benitez kelmarin menuntut agar video pembantu pengadil (VAR) dilaksanakan segera selepas pasukannya Newcastle, yang bermain dengan 10 orang, mengalami kekalahan 2-1 di stadium sendiri kepada Wolves ekoran jaringan kemenangan Matt Doherty dalam masa tambahan.

Benitez dengan berang membuat rayuan itu selepas DeAndre Yedlin dibuang dari padang kerana menarik Diogo Jota setelah bola dirampas daripadanya pada minit ke-56, yang meletakkan pasukan The Magpies tiga mata dari zon penyingkiran.

Benitez juga yakin Willy Boly sepatutnya dilayangkan kad merah dan Newcastle diberi tendangan penalti selepas pemain dari Perancis itu menyiku Ayoze Perez.

“Ia adalah siku pada wajah, dia berdarah – ia begitu ketara sekali,” kata Benitez.

“Namun saya sudah menonton ulang tayang. Anda dapat melihat ulang tayang dan melihat wajah pemain itu dan selepas itu, apa yang berlaku. Sesiapa sahaja dapat melihatnya, jadi kita perlukan VAR (video pembantu pengadil).”

Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo, yang menyaksikan pasukannya naik ke tempat ke-10 selepas kemenangan kedua berturut-turut bagi mereka, merasakan pembuangan pemain berkenaan memang wajar dan menganggap siku oleh Boly sebagai tidak disengajakan.

“Ia adalah siku, ia adalah siku yang jelas ke atas Ayoze,” katanya.

“Namun dari sudut pandangan saya, tanpa terlalu melindunginya, dia (Boly) melompat untuk merebut bola dan dia tidak melihatnya, jadi ia tidak disengajakan.”

VAR bakal diperkenalkan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lepas setelah kelab-kelab “bersetuju pada dasarnya” dengan langkah itu pada bulan lepas, ekoran maklumat terkini mengenai ujian VAR bukan secara langsung yang sudah dijalankan.

Sistem itu sudah digunakan di dalam liga sekitar Eropah, termasuk Serie A di Itali dan Ligue 1 di Perancis, dan digunakan di Piala Dunia 2018 di Rusia.

Newcastle menyangka mereka sudah mengutip satu mata yang sukar kelmarin walaupun Yedlin dibuang dari padang.

Martin Dubravka tidak dapat berbuat apa-apa apabila bola hantaran lintang Helder Costa melepasi Jamaal Lascelles dan Jota mengawal bola dengan dadanya sebelum dia merembat masuk dari jarak dekat.

Pemain pertahanan Wolves, Ryan Bennett, dihukum kerana mengasari Perez 25 meter dari gawang hanya enam minit kemudian dan selepas tendangan percuma Salomon Rondon terkena bahagian bawah palang gol dan bola yang melantun balik dikeluarkan, penyerang Venezuela itu menghantar bola kepada Perez untuk menanam tandukan cantik melepasi Rui Patricio.

Benitez terpaksa merombak pasukan selepas Yedlin dibuang dari padang.

Nuno, yang menghidu peluang untuk merampas tiga mata, bertindak serta-merta dengan memasukkan Morgan Gibbs-White dan Raul Jimenez untuk menggantikan Romain Saiss dan Adama Traore tetapi pasukan pelawat amnya menghadapi kesukaran untuk menggunakan kelebihan mereka.

Rangka gawang menyelamatkan Newcastle 14 minit sebelum tamat apabila Gibbs-White dan Costa mengumpan bola kepada Jimenez untuk memecut di sebelah kiri, tetapi rembatannya melantun balik dari bahagian bawah palang gol tetapi beberapa saat sebelum tamat, Doherty menjaringkan gol.

Dubravka bertindak cemerlang untuk menafikan Jota daripada menamatkan larian yang cantik dengan gol kemenangan sensasi tetapi hanya mampu melihat sahaja apabila Doherty menanduk masuk bola ke dalam jaring kosong selepas ia melantun balik kepadanya. — AFP

Advertisement