Anda di sini

Tayangan langsung final AFF di Stadium Axiata Arena

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan menayangkan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki secara langsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil esok.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya prihatin dengan masalah peminat bola sepak negara yang tidak dapat membeli tiket menyaksikan perlawanan akhir pertama antara Harimau Malaya menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya turut bersimpati kepada semua yang tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki selepas beratur sekian lama. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Pihak KBS bersedia untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang.

"Sementara itu kita akan menyiasat dan mencari penyelesaian jangka masa panjang dengan FAM mengenai masalah ini. Saya ingin mengajak rakyat Malaysia beramai-ramai ke Axiata Arena bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Instagram hari ini.

Sebanyak 40,000 tiket secara online dan 40,000 jualan secara fizikal habis dijual iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil, cawangan Al-Ikhsan dan Football Republic dalam masa yang singkat.

Perlawanan akhir kedua di Vietnam akan diadakan pada 15 Disember ini.

Kali terakhir Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki pada 2010. - Bernama 

Advertisement