Anda di sini

Serian Project Team pertahan kejuaraan Liga Serian LSC 2018

Advertisement
 Barisan pemain dan pegawai-pegawai Serian Project Team meraikan kejayaan menjuarai saingan Liga Serian LSC 2018 semalam.
RAI KEJAYAAN: Barisan pemain dan pegawai-pegawai Serian Project Team meraikan kejayaan menjuarai saingan Liga Serian LSC 2018 semalam.

KUCHING: Serian Project berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Serian LSC 2018 buat kali kedua berturut-turut setelah mencatat kemenangan 2-0 membenam Holdfast FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Serian dekat sini semalam.

Serian Project Team menampilkan persembahan meyakinkan sekalipun dicabar hebat pemain Holdfast FC.

Gol pertama hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Julaihi Azid pada minit ke-13.

Berselang babak kedua, Serian Project Team meningkatkan asakan dan berjaya memperolehi gol kedua hasil jaringan Herman Mantong pada minit ke-53.

“Syabas kepada semua pemain kerana berjaya memastikan kejuaraan kekal menjadi milik Serian Project Team.

“Sokongan padu daripada pihak pengurusan pasukan juga banyak memberi dorongan dan menyuntikkan semangat kepada pasukan kita,” kata Pengurus Pasukan, Abdul Razak Bujang ketika ditemui semalam.

Selaku juara, Serian Project Team bakal menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, baucar bernilai RM1,200, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Hadiah bagi pemenang perlawanan liga akan diberi serentak dengan pemenang Kejohanan Piala FA YB John Ilus dijadualkan berlangsung pada 22 Disember ini.

Sementara itu, satu lagi perlawanan liga bagi merebut tempat kedua berlangsung Ahad ini (16 Disember) membabitkan pertemuan di antara Marr SC menentang Armada Pemuda Bukit Semuja.

Advertisement