Anda di sini

Rasuah dalam perkhidmatan awam kini 'amat rendah' - Dr Mahathir 

Advertisement
 


PUTRAJAYA: Rasuah dalam perkhidmatan awam turun ke paras ‘amat rendah’ sejak kerajaan baharu memimpin negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini.

"Pada masa ini, ia (rasuah) amat, amat rendah. Kita sebenarnya tidak menerima laporan mengenai rasuah sejak kerajaan baharu mengambil alih. Sebagaimana yang diketahui, dalam kerajaan terdahulu, ramai bercakap mengenai rasuah dalam kerajaan.

“ Dari satu sudut, kita telah berjaya mengurangkan kes rasuah. Namun, mungkin masih terdapat rasuah dan mungkin tidak dapat dikesan oleh kita,” kata beliau semasa menjawab pertanyaan pemberita mengenai sejauh mana masalah rasuah dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Pemberita menemui Dr Mahathir selepas beliau melancarkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di  Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ditanya sama ada terdapat perangkaan terkini mengenai rasuah, beliau berkata: “Tiada”.

Semasa ditanya mengenai sama ada Malaysia bersedia untuk pilihan raya majlis tempatan, Dr Mahathir berkata ia tidak mungkin berlaku dan menambah bahawa pilihan raya itu akan mewujudkan konflik perkauman dan perpecahan di bandar dan luar bandar.

"Tiada pilihan raya majlis tempatan. Pilihan raya majlis tempatan boleh memberikan hasil yang salah. Bandar mungkin berbeza, luar bandar mungkin berbeza. Konflik boleh berlaku dan mungkin perbezaan perkauman," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata pada Julai lepas bahawa kementerian berhasrat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun dan pilihan raya itu hanya dapat dilakukan setelah "keadaan kewangan dan ekonomi negara stabil".

Menjawab soalan jika Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menerima keputusan kerajaan bahawa Pulau Kukup harus dikekalkan sebagai taman negara, Dr Mahathir berkata: "Itu pendirian kerajaan persekutuan. Saya harap Johor akan terima. Kita tidak menyentuh mengenai  Sultan. 

"Apa yang kita katakan ialah Pulau Kukup tidak perlu dibangunkan, ia harus kekal sebagai hutan simpan terutamanya sebagai hutan bakau. Kita tidak mahu hutan bakau ditebang untuk membangunkan pulau itu."

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata tanah itu mungkin milik Sultan atau Sultanah tetapi ia tidak boleh dibangunkan.

Mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim​​ bahawa kerajaan persekutuan tidak boleh terlibat dalam perkara tanah negeri, Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia dan kerajaan Persekutuan bukan orang luar.

"Sebaliknya, kami (kerajaan persekutuan) bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku di negara ini," katanya.

Mengenai catatan Instagram cucunya, Melia Serena Mukhriz, yang merujuk peserta perhimpunan menolak ratifikasi ICERD sebagai 'menjijikkan', Dr Mahathir menjawab beliau bebas untuk memberi komen, dan berkata: “Anda boleh bertanya kepadanya”. - Bernama

Advertisement