Anda di sini

PPM Tawau gagalkan cubaan bawa keluar barang kawalan

Advertisement
JURAGAN dan dua penumpang bot laju ini dilihat melarikan diri ke arah kawasan bakau Sg Serudong Tawau.
JURAGAN dan dua penumpang bot laju ini dilihat melarikan diri ke arah kawasan bakau Sg Serudong Tawau.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan cubaan membawa keluar barangan kawalan dalam Ops Gelora di kawasan Sg Serudong, di sini pada petang Ahad.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata tiga suspek dikesan meloloskan diri dan bot laju mereka juga didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Bot laju terbabit memecut laju ke arah tebing hutan bakau Sg Serudong semasa cuba ditahan oleh pasukan kita,” katanya, menerusi kenyataan medianya di sini pada Isnin.

Pajeri berkata tiga suspek yang berada di bot itu, disyaki juragan dan dua penumpangnya juga dilihat bertindak terjun dari bot dan melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan pelbagai barang kawalan yang dimasukkan ke dalam karung dan tong plastik.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM14, 000 melibatkan minyak masak (51kg), gula pasir (170kg), tepung gandum (40kg) dan sembilan tin susu pekat (9kg).

“20 tin susu pekat (10, 000 gram), enam pek Milo serbuk (4, 600 gram), 24 pek kopi serbuk (2,400 gram) serta makanan ringan dan peralatan memasak,” katanya.

KESEMUA barang kawalan yang dirampas dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.
KESEMUA barang kawalan yang dirampas dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.

Menurutnya, PPM Tawau turut merampas barangan lain melibatkan sebuah bot laju, sebuah enjin sangkut Yamaha berkapasiti 40 kuasa kuda, dan satu jerikin minyak petrol.

Beliau berkata penahanan berkenaan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 dan kesemua rampasan terbabit dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement