Anda di sini

Najib dilepaskan dengan jaminan SPRM

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari  selepas ditahan selama dua setengah jam ketika hadir untuk dirakam keterangannya berhubung isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Menurut sumber SPRM, bekas perdana menteri itu tiba di ibu pejabat SPRM di sini dengan menaiki kenderaan utliliti sukan (SUV) jenis Kia Sorento pada jam 10.40 pagi bagi memberi keterangan kali kedua sebelum ditahan pada pukul 10.51 pagi.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, Najib kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 1.21 tengah hari.

Najib disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, kata sumber itu. 

Pada 6 Disember lalu, Najib hadir kali pertama untuk memberi keterangan yang mengambil masa kira-kira empatjam di SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Najib tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Antara telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini termasuk bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad. - Bernama 

Advertisement