Anda di sini

Maxis dalam proses percubaan laksana liputan 5G di Sarawak

Advertisement
 Maxis menawarkan perkhidmatan Internet 4G kepada pelanggannya di negeri ini dan dalam proses percubaan untuk liputan 5G.
UNTUK PELANGGAN: Maxis menawarkan perkhidmatan Internet 4G kepada pelanggannya di negeri ini dan dalam proses percubaan untuk liputan 5G.

KUCHING: Maxis Bhd (Maxis) dalam proses percubaan liputan 5G di Sarawak namun berpendapat liputan 4G kekal menjadi rangkaian Internet utama ditawarkan syarikat itu untuk beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Teknologi (COT) Maxis Morten Bangsgaard berkata, ketika ini syarikat itu masih menaik taraf atau sentiasa menambah baik teknologi 4G di negeri ini.

“Sekarang kita dalam proses percubaan memulakan liputan 5G di Sarawak, ia memerlukan sedikit masa sebelum pelanggan boleh melihat dan menggunakannya.

“Namun, sudah tentu 5G adalah suatu yang lebih besar dan pantas,” ujarnya dalam temubual eksklusif bersama akhbar kumpulan See Hua iaitu Utusan Borneo, The Borneo Post dan See Hua Daily News.

Beliau menambah: “Liputan 4G akan menjadi rangkaian Internet utama untuk beberapa tahun lagi di negeri ini, malah teknologi 4G masih belum kukuh secara keseluruhannya, maka penambahbaikan masih dilakukan ke atas teknologi 4G.”

Mengulas lanjut mengenai liputan 5G, Bangsgaard berkata Maxis akan melakukan percubaan untuk peralatan pertama 5G di Sarawak tahun ini di makmal bagi melihat kelajuan gigabitnya.

“Tahun hadapan, diharap awal tahun, kita akan mula melakukan sedikit percubaan sebenar, melakukannya di lokasi dan melibatkan pelanggan sebenar, namun ia hanya peringkat percubaan,” jelasnya.

Bangsgaard berkata bidang yang berpotensi mendapat manfaat daripada penggunaan 5G ialah lalu lintas kenderaan.

Menurutnya ketika ini terdapat banyak pelaburan dibuat dalam bidang berkenaan.

“Banyak inovasi melibatkan lalu lintas dan keselamatan, pengurusan lalu lintas pintar dalam bandar dan segala-galanya bermula dari lampu isyarat dan sebagainya.

“Saya berpendapat ia bidang yang boleh mendapat manfaat awal dalam proses ini. Sepanjang tempoh yang panjang, perkara ini sukar dilihat, tetapi saya berpendapat setiap industri melihat bagaimana teknologi baharu ini dapat dimanfaatkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun, mengakui penggunaan 5G di Sarawak khasnya memerlukan sedikit masa untuk direalisasikan.

Advertisement