Anda di sini

Kajian pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan diteruskan - Zuraida

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan kajian mengenai pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, kata Menterinya Zuraida Kamaruddin (gambar fail).

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya maklum akan kerisauan yang dizahirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan sekiranya dibuat dalam keadaan semasa.

Dr Mahathir ketika melancarkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di Putrajaya hari ini berkata pilihan raya kerajaan tempatan tidak mungkin berlaku dan ia boleh mewujudkan konflik perkauman dan perpecahan di bandar dan luar bandar.

Zuraida berkata kajian yang dilaksanakan kementerian itu akan mengambil contoh pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negara-negara lain dengan mengikut acuan tempatan sekali gus mengambil  kira sentimen dan sensitiviti rakyat. 

Katanya cetusan inspirasi untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan merupakan antara aspek pembaharuan demokrasi yang diketengahkan dalam manifesto Pakatan Harapan untuk memperkukuh demokrasi setempat serta memberi kesan terhadap tahap kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bermula daripada idea itu diutarakan, KPKT telah membuat perangkaan dengan mengambil kira pelbagai sudut terutamanya bagi memberi pemahaman, pemberdayaan dan penerangan bersepadu mengenai pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan yang hanya akan dibentangkan dalam tempoh  tiga tahun lagi, katanya.

"Adalah penting untuk kita terus meneroka kaedah baharu yang bersesuaian untuk dilaksanakan, di samping sentiasa peka dan menimbang kebaikan dan keburukan dari segala aspek, demi memastikan kelestarian rakyat Malaysia," katanya.

Pada Julai lepas,  Zuraida dilaporkan berkata  kementerian berhasrat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun dan pilihan raya itu hanya dapat dilakukan setelah "keadaan kewangan dan ekonomi negara stabil". - Bernama 

Advertisement