Anda di sini

Jangan dipengaruhi media sosial

Advertisement
 Hamidin (dua kanan) memberi taklimat kepada pasukan Harimau Malaya sebelum menjalani sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kelmarin. — Gambar Bernama
BERI SEMANGAT: Hamidin (dua kanan) memberi taklimat kepada pasukan Harimau Malaya sebelum menjalani sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kelmarin. — Gambar Bernama

NILAI: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan barisan pemain Harimau Malaya supaya tidak memberi terlalu banyak tumpuan terhadap media sosial menjelang aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam, Selasa ini.

Hamidin berkata pemain negara seharusnya memberi lebih fokus terhadap pertemuan tersebut memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu pernah tewas 0-2 kepada Vietnam dalam saingan peringkat Kumpulan A, sebelum ini.

Beliau berkata nasihat itu juga sebagai peringatan kepada barisan pemain bahawa ini bukan masa untuk meraikan sesuatu pencapaian meskipun masih segar dengan kejayaan menyingkirkan juara bertahan, Thailand, Rabu lepas.

“Saya ingatkan Cheng Hoe dan pemain supaya beri lebih tumpuan pada perlawanan akhir ini sebab ada dua aksi dan kita belum sampai ke penghujungnya lagi. Ini bukan masa untuk meraikan apa-apa. Kita masih ada urusan belum tamat.

“Dalam tempoh seminggu akan datang, kita kena fokus dan perlu kerja lebih kuat sebab dengan Thailand kita tidak menang...kita layak ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

“Soal media sosial pula saya tidak mahu pemain terlampau melayan kerana jika mendapat pujian melampau ia akan memberi masalah. Begitu juga sebaliknya sekiranya terdapat kritikan melampau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, kelmarin.

Sementara itu, mengenai tumpuan luar biasa diterima skuad kebangsaan terutama selepas kejayaan mara ke final, Hamidin berkata ia situasi normal yang berlaku dalam dunia sukan.

“Saya fikir dalam keadaan sekarang, semua pemain begitu matang untuk hadapi situasi ini. Ia situasi normal untuk sekarang, semua pihak mahu berikan sokongan kepada Harimau Malaya, itu jelas,” tambahnya.

Perlawanan akhir pertama antara Malaysia dan Vietnam akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala aksi kedua dijadual di Hanoi, pada 15 Disember ini. — Bernama

Advertisement