Anda di sini

Dagangan ringgit dijangka positif

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan positif minggu ini berikutan minggu memberangsangkan untuk bon-bon tempatan.

Ketua Dagangan OANDA bagi Asia Pasifik, Stephen Innes berkata pasaran ringgit diniagakan di bawah paras 4.15 berikutan keputusan gencatan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China selama 90 hari dalam usaha meleraikan perbezaan mengenai dagangan kedua-dua negara tersebut.

“Bagaimanapun, para peniaga perlu menyedari bahawa ringgit dipengaruhi secara langsung oleh penyusutan harga minyak. Ini kerana harga minyak yang rendah akan menjejaskan prestasi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, penyusutan dolar AS juga dijangka berikutan jangkaan pihak Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah menjelang tahun depan.

“Ini akan menyebabkan dolar AS untuk terus susut akibat data ekonomi yang kurang menarik serta keadaan pasaran yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata ringgit serta mata wang negara sedang pesat membangun lain sememangnya memerlukan perkembangan dagangan yang lebih positif dalam usaha melonjakkan nilainya.

“Sama seperti mata wang pasaran sedang pesat membangun, ringgit juga mendapat manfaat berikutan perkembangan gencatan pertikaian perdagangan itu,” katanya.

Menurutnya, jika pasaran kewangan ‘panik’ akibat kemungkinan kegagalan gencatan 90 hari oleh mana-mana pihak terbabit, ini berpotensi menjejaskan minat risiko yang mungkin menyaksikan ringgit ke arah paras 4.20 sebelum akhir tahun.

“Sebaliknya jika senario positif berlaku, ini akan melonjakkan ringgit bergerak ke arah sekurang-kurangnya pada RM4.10 berbanding dolar AS,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit ditutup bercampur-campur berbanding dolar AS dengan sentimen pasaran dipengaruhi oleh harga minyak, keputusan rundingan dagangan AS-China, pengambilan untung terhadap ringgit serta kebimbangan pelabur ke atas prospek ekonomi global.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, unit tempatan itu mengukuh kepada 4.1640/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1820/1870 pada minggu sebelumnya.

Ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang lain.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0385/0434 daripada 3.0499/0546 namun bagi yen Jepun, ringgit susut kepada 3.6899/6937 daripada 3.6843/6903.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3116/3184 daripada 5.3375/3443 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7320/7373 daripada 4.7545/7619. — Bernama

Advertisement