Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka terus diniaga dalam dagangan sempit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan dalam julat sempit minggu ini, berlegar antara paras 1,680 dan 1,700, sebahagian besarnya didorong oleh turun naik dalam pasaran luaran.

Ketua Penyelidikan Rakutan Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata faktor utama daripada gencatan 90 hari AS-China untuk menyelesaikan perbezaan mereka mengenai perdagangan akan memberi impak kepada pasaran.

Pada Sidang Kemuncak G20 baru-baru ini di Buenos Aires, Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping, mencapai persetujuan untuk menangguhkan mengenakan tarif tambahan ke atas barangan masing-masing selepas 1 Januari, 2019, susulan rundingan yang berterusan antara kedua-dua negara.

Trump memutuskan untuk tidak mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion, manakala Xi bersetuju untuk membeli jumlah yang tidak dinyatakan, tetapi ‘amat besar’ produk pertanian, tenaga, perindustrian dan lain-lain dari AS.

“Bagaimanapun, hasil daripada G20 hanya memainkan peranan yang kecil. Pasaran dunia akan memantau keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kenaikan kadarnya tetapi pada masa ini, ekonomi AS lemah, dan mempunyai potensi untuk berhenti seketika untuk menaikkan kadar.

“Bagi pasaran saham AS, kita akan melihat lebih banyak wang yang mengalir keluar dari ekuiti AS, sebahagiannya mungkin mengalir ke Asia tetapi kebanyakannya akan disalurkan ke pasaran bon,” katanya kepada Bernama.

Yee menyatakan harapan indeks barometer di Bursa Malaysia akan mengakhiri tahun ini pada paras 1,800 tetapi beliau meragui ia akan berlaku, terutamanya dengan penurunan yang dilihat pada pendapatan selepas suku ketiga 2018.

“Kami meletakkan sekitar paras 1,780 untuk indeks KLCI. Satu-satunya yang positif di bursa tempatan ialah tambahan dua konstituen baharu, iaitu AMMB dan Top Glove, menggantikan TM dan KLCCP.

“Dua saham ini akan memberi lebih kestabilan (berbanding TM dan KLCCP),” katanya, sambil menambah AMMB antara saham yang berbaloi untuk dibeli menjelang akhir tahun.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah berikutan faktor luaran, termasuk keyakinan pelabur yang tidak stabil mengenai perjanjian perdagangan AS-China yang sedang berjalan, selain pengumuman mengenai kenaikan kadar faedah yang perlahan daripada Rizab Persekutuan AS.

Pasaran saham tempatan turut dipengaruhi oleh prestasi Wall Street dan pasaran serantau, serta harga minyak mentah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi 0.68 mata kepada 1,680.54.

Indeks FBM Emas merosot 6.80 mata kepada 11,597.54, Indeks FBMT100 susut 0.13 mata kepada 11,479.92 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 25.21 mata kepada 11,608.23.

FBM 70 turun 18.92 mata kepada 13,522.99 dan FBM Ace susut 80.04 mata kepada 4,684.39.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan bertentangan dengan trend, naik 65.82 mata kepada 17,435.04, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.39 mata kepada 169.04, manakala Indeks Perladangan merosot 18.16 mata kepada 6,835.11.

Berbanding Jumaat kepada Jumaat, jumlah dagangan mingguan susut kepada 10.81 bilion unit bernilai RM9.4 bilion daripada 10.84 bilion unit bernilai RM13.13 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 7.72 bilion unit bernilai RM8.58 bilion berbanding 7.72 bilion unit bernilai RM12.47 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.87 bilion unit bernilai RM462.77 juta daripada 1.83 bilion unit bernilai RM414.34 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 990.56 juta saham bernilai RM211.72 juta berbanding 1.25 bilion saham bernilai RM257.08 juta. — Bernama

Advertisement