Anda di sini

Atlanta United juara MLS

Advertisement
 Atlanta United meraikan kejayaan memenangi MLS selepas menewaskan Portland Timber di Stadium Mercedes-Benz. — Gambar Reuters
TAHNIAH: Atlanta United meraikan kejayaan memenangi MLS selepas menewaskan Portland Timber di Stadium Mercedes-Benz. — Gambar Reuters

ATLANTA: Atlanta United memenangi kejuaraan Liga Bola Sepak Utama (MLS) pada musim kedua selepas ia ditubuhkan, dengan menewaskan Portland Timbers 2-0 dalam perlawanan akhir Piala MLS kelmarin.

Pemain Paling Bernilai MLS dari Atlanta, Josef Martinez, menerajui serangan di hadapan 73,019 penonton, satu rekod liga, di Stadium Mercedes Benz, dan menyumbat gol pembukaan pada minit ke-39 dengan jaringannya yang ke-35 bagi kempen 2018.

Pemain pertahanan Argentina Franco Escobar menggandakan jaringan pada minit ke-54 untuk membolehkan Atlanta mencapai kemenangan dalam perlawanan terakhir jurulatih Gerardo ‘Tata’ Martino sebagai pemegang tampuk sebelum dia meninggalkan kelab untuk menjadi jurulatih Mexico.

Atlanta memberikan tekanan dari awal perlawanan. Martinez dijatuhkan oleh cabaran daripada Larrys Mabiala dalam kawasan penalti tetapi permainan diteruskan dan VAR menyokong keputusan itu.

Pemain Atlanta, Miguel Almiron, mempunyai peluang jelas pada minit ke-29 daripada hantaran lintang Greg Garza tetapi penjaga gol Portland, Jeff Attinella, merebahkan badan ke kiri untuk menolak bola keluar.

Sepuluh minit kemudian Atlanta meramps gol pendahuluan apabila Michael Parkhurst menolak bola ke arah kawasan penalti dan Martinez menewaskan Liam Ridgewell di bahagian atas kotak sebelum dia mengelecek Attinella untuk menolak bola ke dalam gawang kosong.

Empat minit kemudian penjaga gol Atlanta, Brad Guzan, menafikan peluang pertama Portland yang sebenar, daripada hantaran lintang Sebastian Blanco kepada Jeremy Ebobisse.

Tandukan Ebobisse dari jarak dekat ditolak keluar oleh Guzan untuk mengekalkan kedudukan 1-0 pada waktu rehat.

Pasukan The Timbers melakukan serangan pada awal babak kedua tetapi mendapati diri ketinggalan 2-0 selepas 54 minit.

Martinez memenangi tendangan percuma, kemudian muncul di tiang dekat untuk menolak bola hantaran Almiron ke laluan Franco Escobar, yang melakukan rembatan ke sudut bawah.

Perlawanan itu mempunyai ciri Amerika Selatan yang jelas. Pengurus di Portland adalah bekas pemain antarabangsa Venezuela, Giovanni Savarese. — AFP

Advertisement