Anda di sini

Sampah plastik bunuh ikan lumba-lumba

Advertisement
 Cindy (kiri sekali) bersama para peserta yang menghadiri ceramah jerayawara siri pertama di Miri semalam, sebelum ia diteruskan ke Bintulu hari ini dan seterusnya ke Sibu dan Kuching.
TINGKAT KESEDARAN: Cindy (kiri sekali) bersama para peserta yang menghadiri ceramah jerayawara siri pertama di Miri semalam, sebelum ia diteruskan ke Bintulu hari ini dan seterusnya ke Sibu dan Kuching.
 Bungkusan plastik yang ditemui dalam perut ikan lumba-lumba dan dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang membunuhnya.
MALAPETAKA: Bungkusan plastik yang ditemui dalam perut ikan lumba-lumba dan dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang membunuhnya.
 Tidak kurang juga yang terbunuh kerana terperangkap dalam pukat nelayan.
MALANG: Tidak kurang juga yang terbunuh kerana terperangkap dalam pukat nelayan.
 Laluan sepanjang kajian oleh para penyelidik ikan lumba-lumba Sarawak.
KOMITED: Laluan sepanjang kajian oleh para penyelidik ikan lumba-lumba Sarawak.
 Antara spesies yang ditemui di perairan Sarawak.
KHAZANAH: Antara spesies yang ditemui di perairan Sarawak.

SAMA ada sedar atau tidak, tindakan kita membuang sampah-sarap terutama jenis plastik, sama ada beg plastik, bungkusan makanan barangan keperluan harian di dapur dan rumah, sebenarnya mengancam nyawa hidupan lain yang tidak tinggal di daratan, sebaliknya dalam air.

Setiap kali kita membuang sampah-sarah terutama bungkusan-bungkusan plastik yang pelbagai jenis termasuk beg plastik dan beg sampah, setiap kali itu juga kita sebenarnya ‘membunuh’ nyawa hidupan marin ini.

Hakikat ini pastinya menggerunkan, kalau anda melihat impak daripada perbuatan kita, namun ramai yang masih tidak ambil berat dan tidak endah dengan sikap tidak bermoral itu, meskipun tahu kesan negatif daripada apa yang dilakukan.

Tahukah anda, bahawa kita mampunyai spesies ikan lumba-lumba, antara yang unik di dunia ini.

Ikan lumba-lumba ini bukanlah haiwan liar yang berhijrah ke perairan kita, tetapi merupakan haiwan liar tempatan, yang memang hidup dan mendiami perairan negeri kita sejak berkurun, namun kini populasinya semakin terancam, menjadikan ikan lumba-lumba ini salah satu haiwan terlindung sepenuhnya, di bawah akta hidupan liar di negeri ini dan negara ini amnya.

Meskipun penyelidikan terperinci ke atas mamalia laut ini yang hanya dilakukan kini, mungkin disebabkan aspek kepakaran, namun ia masih belum terlambat untuk kita memulakan langkah segera melindungi ikan lumba-lumba kita.

Kajian oleh pakar penyelidik mamalia laut, ikan lumba-lumba, daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Cindy Peter, mendedahkan pembuangan sampah-sarap terutama plastik secara tidak berhemah, ke dalam sungai atau longkang yang kemudian membawanya ke laut terbuka dan kuala-kuala sungai, merupakan salah satu faktor pencemaran alam yang banyak membunuh hidupan laut termasuk ikan lumba-lumba.

Beliau yang juga melakukan penyelidikan di bawah Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), memberitahu penemuan plastik-plastik yang pelbagai jenis dalam perut ikan lumba-lumba itu dan hidupan laut lain, membuktikan ia salah satu faktor yang membunuhnya kerana gagal dicernakan serta menyebabkan ia keracunan.

“Seperti juga kebanyakan hidupan marin yang lain, ikan lumba-lumba atau dolphin tidak mengunyah makanan sebaliknya ia ditelan bulat-bulat sebelum ditapis dan dicernakan oleh sistem penghadamannya.

“Namun bagi sampah-sampah seperti plastik yang tidak mudah lupus dan tidak dapat dicernakan, akan kekal berada di dalam perutnya, hingga ia boleh meracuni dan seterusnya membunuh hidupan marin ini,” katanya.

Beliau yang ditemui Utusan Borneo selepas menyampaikan ceramah jerayawara projek ‘Dolphins of Sarawak’ di salah sebuah hotel terkemuka di Miri baru-baru ini memberitahu, berbeza dengan manusia, hidupan laut tidak mengenal dan tidak dapat membezakan antara plastik dengan hidupan laut yang menjadi makanan mereka.

“Adakalanya bentuk dan warna plastik ini mengelirukan hidupan laut, kerana menjangka ia adalah ‘ikan’ atau makanan mereka, menyebabkan mereka memakannya dan sesetengah spesies ini seperti ikan lumba-lumba dan paus, mereka menelan ‘makanan’ tersebut bulat-bulat.

“Sudah pasti plastik-plastik ini tidak dapat dicernakan oleh hidupan laut tersebut, hinggakan ia memenuhi ruang perut mereka, akhirnya menyebabkan perut mereka ‘sentiasa’ penuh hingga hidupan laut ini tidak makan dan terpaksa ‘berlapar’, hingga ke satu peringkat ia kemudian membunuh mereka perlahan-lahan,” jelas beliau.

“Ia adalah hakikat yang amat menyedihkan dan memilukan jika anda dapat melihat kesan daripada perbuatan anda secara nyata terhadap hidupan laut ini,” tambahnya.

Ikan lumba-lumba boleh dikategorikan sebagai ‘hidupan liar’ kesayangan kita, kerana ia jinak, mesra dengan manusia, selain rupanya comel dan mampu ‘berkomunikasi’ dengan manusia. Namun sayang, sikap tidak bertanggungjawab kita telah membunuh nyawa hidupan laut kesayangan kita ini.    

Cindy turut mengajak orang ramai untuk meningkatkan kesedaran tersebut, dengan menghentikan tabiat suka membuang sampah sarap ke dalam sungai, terutama sisa buang yang sukar diuraikan seperti plastik bukan biodegerasi.   

Menurut beliau rakyat Sarawak perlu memainkan peranan mereka dengan membantu kerajaan dan agensi-agensi berkaitan untuk menjaga alam sekitar sekali gus melindungi ikan lumba-lumba yang diancam kepupusan jika tiada usaha memulihkannya.

Katanya, kurang usaha melindungi ikan lumba-lumba ini di kalangan rakyat Sarawak kerana ramai beranggapan ia bukan ikan perairan di perairan negeri ini sebaliknya ialah ikan hijrah, yang datang daripada perairan laut dalam atau benua-benua dari serata dunia.

“Tanggapan ini tidak tepat sama sekali, kerana ikan lumba-lumba ini sama ada yang mendiami air tawar (di beberapa batang sungai di Sarawak), kuala-kuala sungai dan perairan sepanjang pinggir pantai negeri ini, adalah hidupan marin berasal di perairan negeri Sarawak ini sendiri dan bukannya ikan hijrah.

“Ia adalah mamalia unik yang ada dan hidup di perairan negeri kita dan ia adalah ‘milik’ kita yang diwartakan sebagai hidupan liar terlindung sepenuhnya,” katanya sambil menambah, spesies yang terdapat di perairan Sarawak dan juga Sabah ini, tidak serupa dengan kumpulan ‘keluarganya’ yang terdapat di bahagian lain dunia ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kajian pihaknya mendapati di sepanjang perairan pinggir pantai negeri Sarawak, terdapat empat spesies ikan lumba-lumba yang ada iaitu Irrawaddy atau nama saintifiknya, Orcaella Brevirostris, kedua Finless porpoise (Neophocaena Phocaenoides), ketiga ialah Humpback (Sousa Chinensis) dan keempat ialah Bottlenose (Tursiops sp.).

Dengan populasinya kini yang semakin terancam, spesies Irrawaddy dianggarkan sekitar 382 ekor; Finless porpoise (135 ekor) dan Humpback (dianggarkan 84 ekor), namun belum ada laporan rasmi bagi spesies Bottlenose, yang sehingga kini, masih sukar dirakamkan gambar-gambar atau rekod mengenainya, walaupun kerap kali bertembung dengan para penyelam, khususnya di perairan di Miri ini.

Secara amnya, menurut beliau sebanyak 27 jenis spesies paus dan ikan lumba-lumba, yang kesemuanya dari keluarga mamalia yang sama, terdapat di negara ini, berdasarkan kajian pada 2012.   

Sehubungan itu, menurut Cindy, jerayawara projek Dolphins of Sarawak, iaitu kerjasama di antara UNIMAS, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Sarawak Shell, adalah untuk mendedahkan kepada orang ramai mengenai kewujudan mamalia unik ini di perairan Sarawak, di samping membentangkan kajian-kajian yang diperolehi sehingga kini oleh SBC, agar ia diketahui penduduk tempatan.

“Kita mahu memperkenalkan ikan lumba-lumba ini kepada rakyat di Sarawak, selain itu, mendedahkan kepada mereka dengan lebih mendapat mengenai kajian dan langkah diambil untuk melindungi dan memuliharanya, bukan sahaja oleh pihak kerajaan, swasta dan agensi berkaitan tetapi rakyat Sarawak amnya,” jelas beliau.

Sementara itu katanya, melalui projek Dolphins of Sarawak, kumpulan penyelidik akan mengumpul data asas mengenai ikan lumba-lumba ini termasuk perjalanan bermusim mereka, penggunaan habitat dan pemuliharaan keperluan lumba-lumba di Sarawak.

“Kita akan terus mengawasi perkembangan dan corak pergerakan mereka termasuk trend populasi, berkaitan dengan parameter habitat, termasuk kemerosotan habitat yang berpotensi ekoran perkembangan pembangunan di kawasan pesisir pantai yang utama, di kawasan-kawasan tinjauan kami,” katanya.

Beliau berharap melalui keputusan kajian itu kelak, ia akan membantu mereka untuk membangunkan pelan pemuliharaan dan pengurusan yang berkesan.

Oleh yang demikian katanya, adalah perlu untuk menyediakan pengalaman latihan dalam bidang berkaitan untuk saintis Malaysia tempatan (pelajar universiti dan kakitangan SFC) serta peluang untuk sukarelawan terlibat dalam aktiviti pemuliharaan ikan lumba-lumba di negeri ini khasnya.

Selain itu, projek Dolphins of Sarawak juga akan meningkatkan kesedaran tentang ikan lumba-lumba dan keperluan pemuliharaan mereka dalam masyarakat, dengan menyebarkan penemuan saintifik menerusi akhbar dan bengkel-bengkel komuniti.

“Justeru pengumpulan data itu amat penting dan menerusi jerayawara projek ‘Dolphins of Sarawak’, kita turut mendidik masyarakat setempat mengumpul data dengan mengenal pasti ciri-ciri ikan lumba-lumba ini, jika mereka terserempak dengan spesies ini sama ada terperangkap di tepi pantai, air cetek atau bangkainya ditemui terdampar, di mana-mana,” jelas beliau.

Menerusi jerayawara yang diadakan, beliau dan kakitangan penyelidik UNIMAS menerangkan secara terperinci mengenai ciri-ciri ikan lumba-lumba daripada spesies yang dikenal pasti, penghuni perairan negeri ini, agar orang ramai tidak tersalah faham antara ikan lumba-lumba dengan yang lain (terutama anak ikan paus).

“Selepas mengenal pasti spesies dan kumpulannya, orang awam atau penduduk yang menemukannya boleh memberikan kami lokasi yang tepat dan keadaan pasang surut air ketika ia ditemui.

“Kita juga menggalakkan orang ramai mengambil gambar sebanyak mungkin daripada pelbagai sudut, termasuk sirip dorsal yang merupakan ciri utamanya, bahagian mulut dan bahagian-bahagian penting badan ikan berkenaan,” jelasnya sambil menunggu bantuan daripada pihak berkuasa yang dihubungi tiba.

Biasanya pihak berkaitan, katanya akan mengambil ukuran badan atau bangkai ikan lumba-lumba tersebut dan seboleh mungkin turut memeriksa kandungan atau isi perutnya, bagi mengetahui diet terakhir ikan berkenaan kerana penting untuk membantu menentukan faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada kematiannya.

Akhir sekali, jika ikan lumba-lumba tersebut ditanam, mereka dinasihatkan untuk memberikan kordinasi atau lokasi ia ditanam, agar mudah untuk pihaknya mengesan, jika perlu bagi tujuan siasatan atau kajian selanjutnya.    

Bagi anda atau sesiapa jua yang menemui ikan lumba-lumba ini, dalam keadaan terdampar sama ada hidup atau mati serta ragu-ragu dengan apa yang perlu dilakukan anda boleh terus memaklumlan kepada Cindy (016-8926027) atau pembantu beliau Samantha (014-6992310) atau Pejabat SFC Miri di talian 085-436637.

  • oleh
  • Advertisement