Anda di sini

Rezeki anak

Advertisement
 Suria (depan, empat kiri depan) dan anak-anaknya merakamkan kenangan bersama kereta Proton Suprima S Turbo 1.6T yang dimenangi semalam. Turut kelihatan Pengurus Jualan Proton, Jeremy Chan (lima kiri belakang).
TAHNIAH: Suria (depan, empat kiri depan) dan anak-anaknya merakamkan kenangan bersama kereta Proton Suprima S Turbo 1.6T yang dimenangi semalam. Turut kelihatan Pengurus Jualan Proton, Jeremy Chan (lima kiri belakang).

KUCHING: Suria Alib menyifatkan hadiah utama ‘Shop, Fly, Drive Grand Draw’ Mydin berupa kereta Proton Suprima S Turbo 1.6T sebagai rezeki anak-anaknya.

Suria yang merupakan seorang suri rumah berkata, beliau pergi ke Mydin Petra Jaya untuk membeli barang keperluan rumah hampir setiap minggu.

“Mula-mula ada berasa gugup sedikit, tetapi inilah rezeki anak-anak jadi saya terima dengan penuh kesyukuran,” ujarnya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah ‘Shop, Fly, Drive Grand Draw’ yang diadakan di Mydin Petra Jaya, semalam.

Bagaimanapun, beliau yang tidak mempunyai lesen memandu berhasrat untuk mula mengambil kelas memandu, justeru buat sementara waktu, suaminya akan memandu kereta berkenaan untuk kegunaan seisi keluarga.

Sebagai pelanggan tetap di Mydin, Suria berkata, beliau menghantar lebih daripada tujuh borang peraduan sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Pusat Beli-Belah Mydin, Mohd Azwan Ahimmat berkata peraduan tersebut dijalankan pihaknya bermula Ogos hingga Oktober lepas.

Menurutnya, pelanggan perlu berbelanja RM150 ke atas dalam dua resit dan mendapatkan borang di kaunter Mydin dengan menjawab dua soalan yang disediakan.

Peraduan Shop, Fly, Drive Grand Draw dijalankan di semua cawangan Mydin di seluruh Malaysia.

Penyampaian hadiah telah dijalankan di enam lokasi sejak Oktober lepas bermula di Ipoh dan Kuching merupakan perhentian terakhir.

Sementara itu, motosikal Modenas MR2 dihadiahkan kepada Rusmiaddy Haldi, manakala Mohamad Zakie Alwi mendapat motosikal Modenas Karisma.

Tiket pergi balik ke Phuket, Thailand tajaan Malindo pula dimenangi Mohd Sahid Abdul Samat dan set mutiara tajaan Wah Chan menjadi milik Norrizan Pawi dan Aidawaty Husaini.

Damin Tumipan membawa pulang televisyen Toshiba 40” sementara Azhar Tuah, Anom Ali Omar dan Hut Bakran masing-masing mendapat baucar tunai RM100 daripada Mydin.

Turut hadir sama semalam adalah Pengurus (Project Set-up) Mydin, Ganesh Chinniah dan Pengurus Jualan Proton, Jeremy Chan.

Advertisement