Anda di sini

Piala AFF Suzuki: 825 anggota polis kawal keselamatan dan trafik 

Advertisement
Ribuan para penyokong Pasukan Malaysia beratur untuk membeli tiket menjelang Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil Hari ini hari ini.  - Gambar Bernama
Ribuan para penyokong Pasukan Malaysia beratur untuk membeli tiket menjelang Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil Hari ini hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 825 anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Selasa ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kawalan trafik akan dilakukan seawal pukul 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium.

“Anggota trafik akan berada di lokasi tertentu yang telah dikenal pasti, pihak polis hanya akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya keadaan sesak.

“Kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium akan dilakukan dan pemeriksaan di setiap pintu masuk akan dibuat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini. 

Beliau berkata dianggarkan seramai 90,000 peminat bola sepak akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu.

Mazlan turut mengingatkan orang ramai untuk tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata, laser dan topi keledar.

“Orang ramai juga diingatkan supaya datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan.

“Jangan cetuskan sebarang provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket palsu untuk aksi final bola sepak Piala AFF Suzuki itu.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan penjualan tiket palsu namun polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya mengesan aktiviti ini,” katanya. - Bernama 

Advertisement