Anda di sini

Petani digalak usahakan tanaman organik

Advertisement
JUNZ menunjukkan sayur-sayuran segar di pasar tani yang dibuka sempena sambutan Pesta Kobis di Kg Kiau, Kundasang.
JUNZ menunjukkan sayur-sayuran segar di pasar tani yang dibuka sempena sambutan Pesta Kobis di Kg Kiau, Kundasang.

RANAU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menggalakkan petani di negeri ini khususnya di kawasan sekitar Kundasang supaya menjalankan pertanian secara organik.

Menterinya Datuk Junz Wong berkata, usaha itu bertepatan dengan komitmen kementeriannya yang mahu mengurangkan penggunaan racun perosak dan bahan kimia dalam tanaman sayur- sayuran.

"Usaha ini penting untuk kita mengawal penggunaan racun perosak sekali gus mengelakkan daripada risiko penyakit dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga giat melaksanakan rawatan bagi tahap racun perosak tinggi yang mana ia menjejaskan eksport sayur-sayuran ke negara jiran seperti Brunei dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Pesta Kobis yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Afdal, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Junz berkata beberapa syarikat swasta bersedia memberikan komitmen ke arah memupuk pertanian organik.

"Misalnya, STF Agriculture Sdn Bhd sudah melakukan 50 metrik tan baja organik yang dihasilkan secara sampingan dari ladang ayam di negeri ini.

"Ini adalah sebahagian daripada program CSR mereka untuk menggalakkan penanaman organik dan akan diedarkan kepada petani di Kundasang melalui penyelarasan Jabatan Pertanian Negeri," katanya.

Beliau berkata, syarikat Crop Booster Biotech Sdn Bhd juga menyatakan kesediaan yang sama dengan memperkenalkan penggunaan Larva Black Soldier Flyies (BSF) dalam menukar sisa bio organik menjadi baja organik.

Katanya, teknik teknologi hijau itu akan menghasilkan pengeluaran baja organik yang mempunyai kandungan nutrien tinggi dan terhindar daripada mengundang sebarang penyakit.

"Satu lagi syarikat iaitu OKBA Co-op juga akan membantu usaha kita menghasilkan baja organik melalui bio-penukaran dan mikroorganisma.

Terdahulu, Junz mengiringi Shafie ke Kampung Kiau, Kota Belud bagi menyempurnakan pembukaan Koonduan Kiau Nuluh Enterprise (KKNE) yang juga dihadiri oleh Menteri Infrastruktur Datuk Peter Anthony dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick.

KKNE dibentuk bagi membantu suri rumah dan graduan menganggur yang tinggal di luar bandar untuk menceburi industri hiliran iaitu memproses produk berasaskan nanas.

Junz turut meluluskan permohonan dana bernilai RM100,000 untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan dengan menyediakan anak benih, baja organik serta peralatan.

  • oleh
  • Advertisement