Anda di sini

Penunggang maut, pembonceng cedera ringan

Advertisement
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

LAHAD DATU: Penunggang maut dan pemboncengnya cedera setelah motosikal yang dinaiki dilanggar dari belakang lalu dirempuh lagi sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan di Jalan Dam, di sini pada Jumaat.

Mangsa, 32, bekerja sebagai mekanik dari Kampung Unta disahkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu atas pelbagai kecederaan dalaman dan rakan yang diboncengnya, 27, mengalami cedera ringan.

Kira-kira jam 6.15 petang, dua sahabat terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah setelah habis bekerja dan ketika melalui kawasan jalan lurus yang gelap tanpa lampu jalan raya, motosikal mereka telah dilanggar kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang.

Akibatnya, motosikal yang dipandu mangsa hilang kawalan hingga masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati motosikal dan kenderaan pacuan empat roda yang melanggar dari belakang itu dari arah Palm Hight menuju bulatan dan kenderaan pacuan empat roda yang melanggarnya pula dari arah bulatan Jalan Dam.

"Pemandu tidak disyaki mabuk namun sample darah telah diambil untuk ujian toksikologi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987," katanya.

  • oleh
  • Advertisement