Anda di sini

Malaysia kurangkan keluaran minyak 15,000 tong sehari: Azmin

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju meneruskan komitmen pelarasan sukarela untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 15,000 tong sehari berbanding ketetapan 20,000 tong sehari sebelum ini yang berakhir pada hujung tahun ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan selepas berakhirnya Mesyuarat Kelima Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Mesyuarat Peringkat Menteri Bukan OPEC di Vienna, Austria pada 6 Disember lepas.

Pada mesyuarat itu, negara pengeluar terbabit bersetuju mengurangkan pengeluaran mereka kepada 1.2 juta tong sehari bagi tempoh enam bulan berbanding 1.8 juta tong sehari, sebelum ini.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin menyifatkan keputusan itu sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran ekonomi yang dihadapi oleh pasaran minyak global.

“Walaupun kita merupakan negara pengeluar yang kecil, Malaysia tetap bersepakat menyertai negara pengeluar lain untuk meneruskan objektif strategik bagi mencapai kestabilan pasaran global demi kepentingan semua pengeluar dan pengguma minyak dengan mengambil kira prospek serta keadaan pasaran,” katanya.

Bersempena lawatan kerja ke Vienna pada 4 Disember lepas, Mohamed Azmin turut mengetuai Malaysia dalam Mesyuarat Ke-12 Jawatankuasa Pemantauan Bersama Peringkat Menteri, mesyuarat OPEC dan Bukan OPEC Peringkat Menteri serta Majlis Makan Malam Ulang Tahun Meraikan Deklarasi Kerjasama itu.

Selain wakil kementerian itu, delegasi Malaysia ke Vienna itu turut disertai oleh wakil Pejabat Peguam Negara dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) selain sokongan Kedutaan Malaysia di Vienna. — Bernama

Advertisement